Wujudkan pusat cerapan falak Jakim

0
354
Seminar Falak Nusantara (Saras) 2021 dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara dalam talian pada 21 September. - Foto FB

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mungkin mempunyai sebuah balai cerapan khas tersendiri bagi tujuan pengurusan ibadah berasaskan ilmu falak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, balai cerap itu bukan sahaja untuk penentuan anak bulan, gerhana dan lain-lain, bahkan dikongsi penyelidik sains angkasa.

“Kerajaan lihat ada keperluan dibina pusat falak itu yang boleh memenuhi urusan pentadbiran dan penyelidikan sains angkasa untuk dimanfaatkan umat Islam seluruh negara.

- advertisement -

“Saya berharap balai ini kelak dapat melahirkan pakar falak bertaraf dunia dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk alim ulama, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar dan lain-lain,” katanya ketika merasmikan Seminar Falak Nusantara (Saras) 2021 secara dalam talian  anjuran Institut Tanah dan Ukur Negara selain mendapat kerjasama Jakim, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Persatuan Jurufalak Syarie serta jabatan mufti negeri-negeri.

Ketika ini, Balai Cerap Kebangsaan di Pulau Langkawi, Kedah serta Planetarium Negara di Kuala Lumpur diuruskan Agensi Angkasa Malaysia.

Namun, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Sabah turut memiliki balai cerap tersendiri dikendalikan pihak jabatan mufti di negeri berkenaan.

Terbaharu, Johor dan Sarawak juga bakal membina balai cerap masing-masing manakala Wilayah Persekutuan pula dijangka mewujudkan pusat astronomi ilmu falak khusus di Labuan.

Jakim selaku agensi penyelaras hal ehwal Islam peringkat nasional, boleh menerajui usaha memperkasa kajian astronomi syariah dengan semua badan autoriti hal ehwal agama negeri.

Idris turut memaklumkan bahawa sambutan Bulan Falak Kebangsaan 2021 yang dianjurkan buat kali pertama sepanjang Muharram lalu, akan dijadikan sebagai acara tahunan Jakim bertujuan memupuk minat masyarakat khususnya generasi muda mengenai kepentingan falak yang bukan sekadar penentuan arah kiblat, waktu solat dan takwim Hijri.

Beliau pada masa sama memuji inisiatif perkembangan teknologi pencerapan Islam apabila dua aplikasi Jakim berkaitan falak menerima sambutan luar biasa termasuk Muslim di luar negara, antaranya aplikasi Malaysia Rukyah Hisab Kebangsaan (MyRHK) yang memaparkan secara masa sebenar pencerapan hilal dan gambar dari seluruh negara.

“Begitu juga aplikasi MySolat yang difahamkan sudah dikunjungi lebih 32 juta pelawat sejak dilancarkan pada 2018 dan membuktikan ilmu falak ada potensi besar dimajukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan Malaysia sudah melaksanakan kriteria baharu penentuan hilal ketika matahari terbenam atau imkanur rukyah mulai bulan Muharram lepas.

Penyelarasan tersebut jelasnya, yang berdasarkan kajian selama 20 tahun, turut disepakati oleh Brunei, Indonesia dan Singapura selaras mesyuarat peringkat tinggi pada 2019 lalu. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here