Home » Langit Terbuka » TH lantik dua pengurusan kanan baharu

TH lantik dua pengurusan kanan baharu

Pelantikan baharu itu adalah sebahagian usaha menjadikan Tabung Haji sebagai institusi Islam dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus baik. - Foto The Sun Daily

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan dua pengurusan kanan baharu, selaras dengan usaha bagi memperkukuhkan kepemimpinan organisasi itu.

Bekas Ketua Pengarang Berita New Straits Times (NST), Ahmad Shahriman Johari dilantik sebagai Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan TH, berkuat kuasa 1 April lalu.

Bekas Naib Presiden Kanan di Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd, Rozita Khamsiah Othman pula dilantik sebagai Setiausaha Lembaga TH, berkuat kuasa Khamis ini.

Mengumumkan pelantikan itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof, berkata ia adalah usaha menjadikan TH sebagai institusi Islam dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus baik.

“TH mengalu-alukan pelantikan Rozita dan Ahmad Shahriman yang memiliki pengalaman luas serta kepakaran dalam bidang masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 April.

Rozita Khamsiah mempunyai pengalaman luas sebagai penasihat undang-undang dalaman dan setiausaha syarikat berlesen dalam pelbagai industri termasuk institusi kewangan kerajaan, pembinaan dan pembangunan hartanah.

Beliau bertanggungjawab dalam aspek pengurusan undang-undang Medini Iskandar Sdn Bhd, termasuklah memimpin, mengurus dan memantau penyampaian khidmat nasihat perundangan, sebelum menyertai TH.

Rozita Khamsiah sebelum ini, pernah berkhidmat dengan Malaysia Debt Ventures Berhad, KUB Malaysia Berhad dan Kumpulan Maju.

Sementara itu, Ahmad Shahriman berkelulusan Ijazah Kesusasteraan Bahasa Inggeris dari Acadia University, Kanada dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Komunikasi Korporat di Sime Darby Property Berhad, sebelum menyertai TH.

Beliau ketika itu, bertanggungjawab untuk mengurus hal ehwal perhubungan awam serta komunikasi Sime Darby Property Berhad, selain berpengalaman luas dalam perhubungan media. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *