Home » Langit Terbuka » TH sedia kaji cadangan tambah baik pengurusan haji

TH sedia kaji cadangan tambah baik pengurusan haji

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Tabung Haji (TH) Malaysia akan mengambil kira cadangan dan pandangan pelbagai pihak bagi menambahbaik terutama melibatkan isu unik dan pengurusan jemaah haji pada musim akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelbagai cadangan itu akan diberi perhatian untuk dimuhasabah dan diangkat ke perbincangan dari peringkat kerajaan Malaysia sehingga kepada kerajaan Arab Saudi.

“Secara umumnya perkhidmatan TH masih dianggap terbaik dan diperakui sendiri oleh Menteri Haji Arab Saudi dan Gabenor Makkah kepada saya.

“Sudah menjadi lumrah akan ada sedikit sebanyak kelemahan di sana sini yang perlu ditambah baik terutama isu-isu unik yang dikenal pasti saban tahun, khususnya melibatkan urusan di luar bidang kuasa TH seperti urusan lima hari di Masyair iaitu di Arafah, Muzdalifah dan Mina,” katanya dalam status yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook hari ini.

Semalam, seramai 420 jemaah haji dari kumpulan pertama akan berlepas pulang dengan penerbangan sulung dari Jeddah dan dijangka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.10 petang ini.

Penerbangan XY9003 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada jam 1 tengah hari (waktu Arab Saudi).

Menurut Dr. Asyraf Wajdi, pelaksanaan ibadah haji mempunyai pelbagai cabaran bukan sahaja dari aspek penyempurnaan segala manasik haji seperti wukuf di Arafah, mabid di Mina dan Muzdalifah, tawaf, saie mahu pun melontar tetapi juga ujian kesabaran yang menyentuh hati dan perasaan.

“Demikianlah rahsia dan hikmah haji yang perlu dilalui bagi mengecap kemabruran yang ganjarannya tiada lebih ternilai berbanding syurga Allah. Didoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia termasuk petugas TH mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Dalam statusnya itu, beliau juga turut bersyukur kerana berjaya menyelesaikan tanggungjawab diamanahkan kerajaan Malaysia untuk mengetuai jemaah haji tahun ini.

“Bersyukur kepada Allah tiada insiden besar sebagaimana pengalaman kali pertama tahun 2015 apabila terpaksa menangani dua tragedi yang melibatkan rakyat Malaysia iaitu peristiwa kren tumbang dan rempuhan di Mina,” katanya.

Katanya, selama 14 hari memantau jemaah haji di Mekah dengan jadual yang padat, beliau dapat melawat semua 25 hotel penginapan jemaah Muassasah Malaysia, khemah jemaah di Arafah dan Mina, hospital yang menempatkan jemaah sehingga pengurusan jemaah yang sakit dan meninggal dunia.

Asyraf Wajdi juga berkesempatan mewakili kerajaan Malaysia mengadap Raja Salman di Istana Baginda di Mina dan melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Makkah bagi menzahirkan penghargaan Malaysia kepada kecemerlangan pengurusan haji kerajaan Arab Saudi tahun ini. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *