Home » Langit Terbuka » Tiada alasan sukar peroleh sijil halal

Tiada alasan sukar peroleh sijil halal

Kegiatan kokurikulum dan aktiviti di pusat tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan akan mudah dipantau oleh jabatan agama Islam negeri, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Foto FB

IPOH – Tiada alasan bagi peniaga untuk tidak mendapatkan sijil halal, berikutan ia boleh didapati dengan mudah secara dalam talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, peniaga di peringkat negeri boleh mendaftarkan perniagaan mereka secara dalam talian sebelum dibawa ke peringkat persekutuan untuk diproses Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Jadi isu yang mengatakan ia susah sebenarnya tidak timbul. “Sudah tentu kami menjaga standard halal apabila mereka mahu memperbaharui sijil halal, kami kena periksa semula,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Ummatic Festival 2.0 di Masjid Muhammad Al Fateh di Ipoh hari ini (4 Oktober).

Mujahid berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan secara mengejut dan tersusun dalam rangka bagi menjaga kualiti sesuatu produk selain pelaksanaan program ‘Built in System’.

Katanya, sistem itu antara lain dilaksanakan dengan melatih pengurus restoran atau syarikat yang memohon sijil halal, mengenai pemahaman dan kaedah penjagaan halal bagi memastikan kualiti halal sesuatu produk.

Ditanya mengenai hasil pemeriksaan yang mendapati masih terdapat produk menyalahgunakan tanda halal palsu, Mujahid berkata, orang ramai diminta menyalurkan aduan bagi membantu pihak berkuasa menangani masalah berkenaan.

“Kami ada beberapa pendekatan dalam menangani masalah ini, termasuk melakukan pemeriksaan bersama penguat kuasa di premis, berdasarkan aduan daripada orang ramai.

“Selain itu, kita ada membangunkan satu aplikasi ‘Verify Halal’ yang boleh dimuat turun dan mengandungi senarai produk berdaftar dengan kita,” katanya.

Beliau berkata, individu yang meragui tanda halal pada sesuatu produk boleh mendapatkan pengesahan melalui aplikasi berkenaan dengan mudah.

Katanya, walaupun penguatkuasaan halal di bawah Akta Perihal Dagangan dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, namun JAKIM sebagai pemegang sijil halal turut memberi bantuan sokongan penguatkuasaan.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata, kesucian masjid dan surau perlu dipelihara, supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan kebencian atau ideologi, dengan menjadikan program tertentu sebagai alasan.

Katanya, beliau akan memohon setiap kerajaan negeri supaya mengambil tindakan tegas kepada pihak yang menjalankan program berunsurkan parti politik di masjid, susulan banyak aduan jemaah yang diterima menyatakan berasa tidak selesa dengan penceramah tertentu. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *