Home » Langit Terbuka » Tiada kompromi perkara asas Perlembagaan

Tiada kompromi perkara asas Perlembagaan

Sultan Perak bertitah, perkara perkara yang tidak boleh dikompromi antaranya, yang menyentuh Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar perkara-perkara asas yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan perlu terus dipertahan tanpa kompromi walau berlaku perubahan kerajaan.

Titah baginda antara perkara asas tersebut adalah yang menyentuh Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara-perkara tersebut jangan sama sekali mahu disensasikan oleh mana-mana pihak. Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama semasa menggubal Perlembagaan Merdeka, akan hanya mengundang suasana tidak harmoni yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam.

“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di sini, hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada 3 pegawai dan 102 anggota lain pangkat daripada Batalion Pertama Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Hulu Kinta.

Baginda juga menitahkan kerajaan baru yang dipilih semasa pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) lalu supaya memenuhi harapan serta amanah rakyat, selain melaksanakan tanggungjawab secara dedikasi, ikhlas, jujur dan berintegriti.

“PRU14 telah 88 hari berlalu. Semasa berkempen, pelbagai janji diumumkan. Majoriti pengundi berani mengambil risiko, melakukan anjakan minda untuk menukar kerajaan atas keyakinan akan berlaku perubahan yang membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat dan kesejahteraan negara.

“Majoriti pengundi yang memilih untuk menukar kerajaan, mahukan sebuah kerajaan yang melaksanakan tadbir urus yang baik,” titah Sultan Perak.

 

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/06/sultan-nazrin-tiada-kompromi-perkara-asas-perlembagaan/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *