Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, tindakan drastik itu adalah susulan penstrukturan semula harga petrol dan diesel secara mingguan bermula Isnin ini berbanding bulanan.

“Paling utama kejatuhan 30 sen itu yang akan mengakibatkan kerugian sebanyak RM42 juta dalam sehari bagi industri kami.

“Pada tahun 2014, kami kerugian RM62 juta bagi satu hari namun tiada siapa yang menggantikannya. Kos juga sudah naik namun komisen tidak naik,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu lebih 300 pengusaha stesen minyak hadir dalam perjumpaan khas mengenai isu penukaran harga minyak mingguan dan kerugian besar yang bakal ditanggung semua pengusaha stesen minyak.

Justeru, Khairul menggesa kerajaan meningkatkan komisen penjualan harga petrol dan diesel secepat mungkin bagi menampung kos operasi susulan kejatuhan harga bagi dua minyak itu.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan bilangan pengusaha minyak yang akan gulung tikar akan mencecah sehingga 100 orang daripada 3,500 pengusaha sedia ada kesan daripada penstrukturan semula harga minyak itu. – Kosmo