Home » Langit Terbuka » Tilawah peringkat kebangsaan di Seremban 17 hingga 22 Mac

Tilawah peringkat kebangsaan di Seremban 17 hingga 22 Mac

Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, seramai 28 peserta yang terdiri daripada 14 qari dan 14 qariah yang mewakili negeri masing-masing akan menyertai acara tilawah. - Foto MySumber

SEREMBAN – Negeri Sembilan menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 yang akan berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini dari 17 hingga 22 Mac.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, seramai 28 peserta yang terdiri daripada 14 qari dan 14 qariah yang mewakili negeri masing-masing akan menyertai acara tilawah.

Katanya, bagi menghafaz al-Quran, seramai 84 peserta berusia tujuh hingga 25 tahun akan bersaing dalam tiga kategori yang dipertandingkan.

“Kita berasa bertuah kerana dipilih menjadi tuan rumah dan berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan program tahunan yang berjaya melahirkan qari dan huffaz yang mencipta nama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Prapelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 di sini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Razali Ab. Malik.

Menurut Aminuddin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadual merasmikan pembukaan acara itu pada 17 Mac.

Katanya, johan bagi qari dan qariah tilawah al-Quran akan membawa pulang wang tunai RM15,000, cenderamata, sijil penyertaan dan wang tunai RM10,000 bagi mengerjakan haji.

Katanya, johan lelaki dan wanita bagi kategori pertama iaitu menghafaz juzuk 1 hingga 9 akan menerima wang tunai RM5,000 dan piala iringan.

“Bagi kategori kedua iaitu menghafaz juzuk 1 hingga 20 menerima RM7,000 dan RM7,000 tambahan untuk mengerjakan umrah.

“Johan kategori ketiga iaitu menghafaz juzuk 1 hingga 30 akan mendapat wang tunai RM15,000 dan RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan. Mereka juga menerima tajaan berjumlah RM20,000 daripada Bank Islam menerusi akaun Al-Awfar,” katanya.

Menurut beliau, bagi memudahkan orang ramai mengikuti program itu sebanyak lapan buah bas disediakan untuk membawa penumpang dari empat lokasi yang ditetapkan ke Dewan MPS.

“Pelbagai kemudahan lain turut disediakan iaitu skrin televisyen besar yang menyiarkan acara secara langsung, food truck, surau bergerak dan khemah pameran. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *