Home » Langit Terbuka » ‘Tindakan JAWI tangkap dua selebriti didakwa berkhalwat bukan gimik promosi drama’

‘Tindakan JAWI tangkap dua selebriti didakwa berkhalwat bukan gimik promosi drama’

Mohd Na'im (tiga dari kanan) bersama Selamat (dua kiri) dan Norliza (kiri) melancarkan Buku Amalan Tadbir Urus Wakaf di Universiti Awam Malaysia terbitan JAWHAR di Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 hari ini. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan dua selebriti yang didakwa berkhalwat bukan satu gimik untuk meraih publisiti.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia dibuat selepas pihak penguat kuasa agama menerima aduan daripada pihak ketiga.

Beliau berkata, JAWI sama sekali tidak akan terbabit dalam sebarang usaha penguatkuasaan semata-mata untuk tujuan sedemikian, termasuk bagi melaris dan mempromosikan drama dilakonkan dua selebriti itu.

“Maksiat tetap maksiat, tak boleh dipromosikan. Tak timbul langsung pihak JAWI jadikan ini (tangkapan selebriti) itu sebagai gimik.

“Sebaliknya, JAWI laksana tindakan secara bebas dan adil. Khalwat adalah satu daripada kesalahan di bawah Kanun Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan,” katanya selepas merasmikan Bulan Wakaf Kebangsaaan 2024 – Wakaf Membangun Malaysia MADANI di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim.

Ketika berita mengenai penahanan dua selebriti didakwa berkhalwat di sebuah kondominium di ibu negara terus mendapat perhatian umum, netizen di media sosial pula mendakwa tindakan itu sebagai gimik selebriti berkenaan untuk mempromosikan drama lakonan mereka.

Ia susulan beberapa muat naik dibuat selebriti berkenaan di akaun media sosialnya, mengenai keberadaannya di lokasi penggambaran, selepas berita penahanannya mula dilaporkan media.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, beliau sendiri sudah menghubungi Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, bagi mendapatkan sendiri penjelasan berhubung isu gimik itu.

Sementara itu, mengulas isu pembabitan peserta himpunan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam himpunan perarakan Hari Wanita baru-baru ini, Mohd Na’im berkata, satu laporan polis sudah dibuat.

Katanya, insiden itu kini dalam siasatan polis dan pihaknya juga menantikan perkembangan sebaik saja siasatan selesai.

“Bagi pihak Kementerian Agama sekali lagi saya tegaskan kita memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin menegakkan budaya LGBT di negara ini.

“Apa juga perhimpunan yang terkait dengan agenda LGBT semestinya bertentangan dengan Perlembagaan kita.

“Saya percaya perkara ini dalam siasatan polis dan kita pada masa sama memantau rapat perkembangan kes ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *