Home » Langit Terbuka » Tindakan undang-undang pihak sebar fitnah

Tindakan undang-undang pihak sebar fitnah

Yapeim memberikan tempoh selama tiga hari kepada pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar mengenai organisasi itu untuk memohon maaf, tegas Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya. - Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menyebarkan berita tidak tepat mengenai organisasi itu.

Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata, pihaknya akan berbincang dengan peguam untuk menentukan bentuk tindakan yang bakal dikenakan ke atas pihak terbabit.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya masih lagi menggunakan budi bicara untuk tidak mengambil sebarang tindakan, asalkan pihak terbabit bersedia untuk memohon maaf.

“Kita akui ada banyak kelemahan pentadbiran yang lepas, tetapi ada juga fakta yang disebut pihak terbabit dalam laporannya tidak tepat sehingga menjejaskan reputasi Yapeim pada masyarakat.

“Justeru, kita pertimbangkan untuk mengambil tindakan, tetapi kita beri masa dua atau tiga hari atau paling lewat sehingga Jumaat ini untuk mereka memohon maaf,” katanya pada sidang media berkenaan hala tuju baharu Yapeim di pejabatnya di sini.

Sementara itu, ditanya mengenai status Datuk Abibullah Samsudin, beliau berkata, Ketua Pengarah Yapeim itu masih dalam tempoh penggantungan tugas selama 14 hari bekerja.

Kata Dr. Mohd Daud, penggantungan Abibullah berkuatkuasa 21 Mei lalu akan ditentukan pihak Lembaga Pemegang Amanah Yapeim dalam tempoh terdekat ini.

“Ketua Pengarah masih dalam tempoh pengantungan tugas 21 Mei lalu selama 14 hari bekerja. Kami masih menjalankan siasatan dalaman dan akan buat pemberitahuan kepadanya selepas atau dalam tempoh penggantungannya,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, Yapeim mengumumkan penggantungan sementara Abibullah dari menjalankan tugas sebagai ketua pengarah berkuat kuasa serta-merta.

Dr. Mohd Daud memaklumkan, tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan Abibullah.

Kata beliau, sepanjang penggantungan tersebut, jawatankuasa siasatan akan meminta beliau (Abibullah) untuk hadir bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan berkenaan dakwaan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa tugas Ketua Pengarah Yapeim akan dipangku oleh Pengarah Kanannya, Parihah Hasan. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *