Home » Citra Yadim » Model Pengkaderan YADIM mesti jadi contoh dan rujukan

Model Pengkaderan YADIM mesti jadi contoh dan rujukan

Sebahagian daripada kakitangan YADIM yang menyertai majlis khatam Al Quran

PUTRAJAYA – Model Pengkaderan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang dijadikan panduan untuk menghasilkan dan melatih para daie di negara ini, mesti menjadi contoh serta rujukan bagi melahirkan pendakwah yang benar benar  memberi impak.

Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz berkata, bagi membolehkan YADIM membawa model dakwah peringkat dunia, sepertimana model pengurusan haji yang terbukti berkesan, ia tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa.

“Kita kena fikir jangka panjang, ia mesti boleh menjadi rujukan dan terjemah Islam dalam kehidupan dia (daie berkenaan), pengurusan sesebuah organisasi dan negara.

“Sebab itu kita setuju untuk naik taraf Institut Latihan Dakwah Yadim (ILDAN) di Sungai Semungkis, Hulu Langat (bagi tujuan latih pendakwah). Kerana kita perlukan sebuah pusat untuk tujuan latihan ini.

“Supaya ia nampak lebih berketerampilan, mempunyai daya penarik dan mampu menaikkan nama YADIM,” jelasnya.

Nik Omar berkata demikian semasa berucap di Perhimpunan Bulanan YADIM di ibu pejabat YADIM di sini hari ini (28 Mei).

Sementara itu katanya, sesuai dengan sambutan ulang tahun YADIM ke 50, kepimpinan badan ini mempunyai visi supaya badan dakwah ini memiliki wisma atau bangunannya sendiri nanti.

Bangunan itu kelak katanya, akan mempunyai tempat ibadah, kemudahan konvensyen serta pusat perniagaannya sendiri.

Terdahulu, Pengarah Kanan ILDAN, Kapten (B) Shamsudin Moner menyampaikan taklimat mengenai rancangan menaik taraf ILDAN.

Menurut beliau, sekiranya semuanya berjalan mengikut perancangan apabila siap kelak, ILDAN akan mempunyai kemudahan moden dan selesa bagi tujuan melatih para kader.

“Mengikut rancangan, ILDAN akan mempunyai pejabat pengurusan, bangunan baharu 4 tingkat, hostel 30 bilik dan kafetaria,”katanya.

Turut diadakan pada majlis yang sama ialah majlis khatam Al Quran YADIM. Seramai 22 orang kakitangan dan pegawai YADIM termasuk kepimpinan tertinggi badan ini menyertai majlis khatam tersebut.

Acara yang menjadi tradisi tahunan YADIM ini diketuai oleh Ustaz Kamarudin Mustafa dari Bahagian Pembangunan Ummah.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *