Menurut Pengurus Ibadat Madinah Tabung Haji, Mohd. Zamri Ramli, memandangkan kebanyakan jemaah Malaysia yang tiba awal di sini akan berada hanya enam hari di Madinah, fokus utama mereka ialah meningkatkan pengetahuan mengenai ibadat umrah.

Beliau berkata, jemaah yang memilih melakukan haji tamattu akan melakukan umrah apabila tiba giliran ke Mekah dan melakukan niat miqat di Bir Ali.

“Selain daripada pengetahuan mengenai umrah, jemaah juga banyak bertanyakan soalan-soalan berkaitan dengan isu-isu berkaitan haid wanita dan juga lelaki yang mengalami masalah prostat,” katanya.

Katanya, kesemua pengetahuan tersebut sememangnya telah dipelajari di tanah air melalui kursus-kursus haji tetapi jemaah ingin mendapatkan kepastian apabila telah berada di tanah suci dan akan melakukan ibadat haji dan umrah dalam masa terdekat.

“Kami di unit bimbingan ibadat Tabung Haji akan sentiasa mengadakan siri ceramah bagi mengingatkan kembali pengetahuan haji jemaah ketika berada di sini, termasuk menyediakan talian bimbingan jika berada di luar hotel,” tambahnya.

Mohd. Zamri juga menasihatkan jemaah agar tidak mudah terpedaya dengan pandangan-pandangan mengenai kelebihan beberapa perkara ketika berada di tanah suci yang kadang kala boleh memesongkan akidah.

“Mempercayai bahawa ada kayu atau batu tertentu mempunyai khasiat jika dipakai atau dibawa balik ke tanah air adalah antara contoh kepercayaan yang tidak boleh diikuti oleh jemaah,” tambahnya.

Ditanya mengenai jumlah tempoh yang agak singkat jemaah Malaysia tinggal di sini dan tidak dapat melakukan solat 40 waktu seperti disarankan oleh sesetengah pihak, Mohd. Zamri berkata, hadis mengenai perkara tersebut adalah hadis yang daif.

“Tidak timbul jemaah tidak akan mendapat manfaat jika tidak dapat melakukan solat selama 40 waktu (lapan hari) di Masjid Nabawi. Adalah sangat baik jika dapat melakukannya tetapi tidak memberi sebarang kesan jika gagal melakukannya,” katanya.

Jemaah haji Malaysia juga hari ini dibawa melawat ke beberapa kawasan bersejarah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad dan sahabat seperti melawat Bukit Uhud, Masjid Quba, Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh.

Sehingga petang ini, hampir 3,000 jemaah dari Malaysia telah tiba di Madinah yang melibatkan enam penerbangan. – Utusan Malaysia