Home » Langit Terbuka » Tolak liberalisme, pluralisme pada PRU14 – ACCIN

Tolak liberalisme, pluralisme pada PRU14 – ACCIN

Fahaman liberalisme dan pluralisme seperti mengiktiraf LGBTIQ boleh mengancam negara ini. (gambar fail)

PETALING JAYA – Parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) digesa menolak fahaman liberalisme dan pluralisme.

Ini kerana fahaman tersebut merupakan ancaman besar kepada masyarakat Islam

Presiden Gabungan NGO-NGO Islam (ACCIN), Ir. Jamaluddin Samsudin berkata, fahaman liberalisme dan pluralisme mempunyai kaitan dengan akidah dan juga persefahaman sesama rakyat yang mana jika tidak ditangani dibimbangi memberikan kesan tidak baik kepada negara.

“Liberalism dan pluralisme ade kaitan dengan akidah dan persefahaman dengan rakyat dan memerlukan perhatian pemimpin politik… ia tidak boleh dipandang remeh dan tidak penting.

“Kita nampak ia sebagai ancaman yang berlaku dan perlu ditangani secara tegas dan berhemah,” kata beliau selepas menghadiri forum di Universiti Malaya hari ini.

Pada forum itu, ACCIN mengeluarkan 10 deklarasi yang antara lain mendesak ketegasan semua parti politik yang akan bertanding dalam pilihan raya supaya menolak fahaman songsang tersebut.

“Kami amat bimbang, sesungguhnya perkembangan politik, sosial dan ekonomi di negara kita kini semakin memperlihatkan kecelaruan dan kegoncangan.

“Penularan gejala sosial dan kebejatan akhlak masyarakat terserlahnya usaha-usaha pihak tertentu untuk mencabar Perlembagaan Persekutuan, merebaknya fahaman yang menjurus kepada liberalisme dan pluralisme agama serta penyalahgunaan kuasa yang semakin serius, antaranya disebabkan oleh tiada persefahaman antara pemimpin politik,” kata beliau semasa membacakan deklarasi itu.

Dalam deklarasi itu juga, ACCIN menggesa supaya pemimpin politik menghormati Perlembagaan dan memelihara kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kami menyeru kepada pemimpin politik daripada semua parti, baik daripada pemerintah mahu pun pembangkang supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan khususnya berhubung kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Perkara ini perlu dipelihara dan dihormati memandangkan Perlembagaan Persekutuan merupakan rujukan perundangan tertinggi negara,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga digesa memainkan peranan aktif dalam mencegah penularan fahaman liberalisme dan pluralisme daripada terus meresapi dalam masyarakat.

“Kami menggesa supaya kerajaan membanteras penularan fahaman salah yang berselindung di sebalik topeng liberalisme dan pluralisme agama perlu lah ditangani dan dibanteras sedaya mungkin,” katanya.

ACCIN ditubuhkan pada 2001 hasil usaha pimpinan beberapa buah NGO berteraskan dakwah.

Pada hari ini, ACCIN disertai oleh 19 NGO Islam antara yang terbesar di Malaysia. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *