Home » Langit Terbuka » Enam bulan tempoh selesaikan isu murtad

Enam bulan tempoh selesaikan isu murtad

Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg

KUCHING: Kerajaan Sarawak dalam proses melakukan pindaan terhadap enakmen syariah Sarawak bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi menyelesaikan isu berkaitan individu keluar Islam.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata perkara berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan kerana kekangan perundangan sedia ada.

“Sebenarnya, saya sudah berurusan dengan perkara berkenaan dan perlu ada SOP untuk prosedur tertentu. Anda tidak mampu membiarkan perkara (keluar) Islam tergantung.

“Apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan (berkaitan pengesahan keluar daripada agama Islam) adalah masalah pentaksiran mahkamah mana mempunyai kuasa.

“Jika pentaksiran jatuh kepada syariah (mahkamah), syariah perlu menyediakan laluan kepada mereka yang terbabit agar tidak terus terikat dengan isu berkenaan, ada kelompongan dalam ordinan (syariah),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan St. Joseph’s International School, di Jalan Tan Sri Datuk William Tan, di sini, hari ini.

Pada 27 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan Kuching menolak rayuan pendengaran kes membabitkan empat individu dari Sarawak yang diisytiharkan keluar Islam oleh mahkamah sivil sebelum ini.

Keputusan dibuat lima panel hakim dianggotai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan, selain memaklumkan kes berkenaan berada dalam bidang kuasa Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) untuk ia dikendalikan di mahkamah syariah.

Permohonan dibuat Syarifah Nooraffyza Wan Hosen, Jenny Peter @ Nur Muzdhalifah Abdullah, Mohd Syafiq Abdullah @ Tiong Choo Ting dan Salina Jau Abdullah.

Syarifah Nooraffyza dilahirkan sebagai seorang Islam sudah mempraktikkan Kristian sejak 2009 dan kemudian memohon untuk keluar daripada Islam, selain mahu mendapat kebenaran menukar nama pada kad pengenalannya.

Salina sebelum ini seorang Kristian menganut Islam pada November 1992 kerana berkahwin, namun kembali menganut agama asal selepas bercerai pada 2010.

Jenny beragama Kristian sejak lahir menganut Islam pada 2002 kerana berkahwin dengan seorang lelaki Islam, namun kembali kepada agama asal selepas bercerai pada 2006.

Mohd Syafiq yang sebelum ini penganut Kristian memeluk Islam pada 1996 kerana berkahwin dengan pasangan Islam mahu kembali ke agama asal selepas isterinya meninggal pada 2007.

Abang Johari ketika mengulas lanjut, berkata isu keluar Islam perlu diberi jalan penyelesaian terbaik dan kerajaan negeri yakin perkara berkenaan mampu diselesaikan secara berhemah.

Apa yang berlaku adalah masalah berkaitan tadbir urus kerana mereka mahu perkataan Islam dikeluarkan dari kad pengenalan masing-masing kerana mereka tidak lagi mempunyai kepercayaan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya perasmiannya, beliau berkata, isu berkaitan agama tidak perlu menjadi perdebatan di negeri ini bagi mengelak berlaku perpecahan yang langsung tidak menguntungkan.

“Kita sudah hidup bersama dan tidak mempunyai sikap prejudis sesama sendiri, sehinggakan Muslim dan Kristian mampu tinggal sebumbung, perhubungan ini begitu erat sehingga ada rumah panjang menyediakan dapur khusus kepada Muslim untuk memasak dan makan bersama dengan saudara mereka yang Kristian,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *