Home » Langit Terbuka » UK tetapkan Hamas kumpulan pengganas, CSO Islam serah surat bantahan

UK tetapkan Hamas kumpulan pengganas, CSO Islam serah surat bantahan

Briged al-Qassam tentera yang digeruni dalam kalangan pejuang Islam kerana kecekapannya mengatur strategi perang menentang Rejim Zionis - Foto Arkib

KUALA LUMPUR – Kira-kira 20 Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) Islam dari Malaysia dan beberapa negara lain hari ini menghantar nota bantahan kepada Setiausaha Dalam Negeri United Kingdom (UK), Priti Patel berhubung keputusan kerajaan Britain menganggap Hamas sebagai “pertubuhan pengganas”.

Surat itu diserahkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melalui Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur.

CSO yang terlibat termasuk Sekretariat Majlis Ulama Asia, Alliance of World Masaajid in Defense of Al-Aqsa, Pertubuhan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pusat Advokasi Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia (PAHAM), Pertubuhan Kemanusiaan dan Keadilan Kemboja, Pusat Tasawwur Islam Antarabangsa, serta Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dari Kemboja, Malaysia, Myanmar, Filipina dan Thailand.

Dalam menggesa kerajaan Britian membatalkan keputusannya, surat bantahan itu menyatakan Hamas adalah barisan pembebasan negara dengan matlamat membebaskan Palestin daripada penjajahan penceroboh Zionis.

“Daripada menunjukkan penentangan terhadap pelaku dasar aparteid, Britain sebaliknya telah melarang gerakan yang menentang aparteid,” menurut surat itu.

Kerajaan Britain dilaporkan meletakkan seluruh Hamas sebagai “organisasi pengganas” di bawah Akta Keganasan Negara 2000 dan memberi amaran bahawa ahlinya dan mereka yang menyokong kumpulan itu boleh berdepan hukuman penjara yang berat.

Sayap tentera kumpulan itu, Briged al-Qassam diharamkan di Britain sejak 2001 tetapi kementerian dalam negeri memperluaskan larangan itu kepada entiti politiknya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *