Home » Langit Terbuka » Melaka buka pusat kuarantin untuk jemaah umrah

Melaka buka pusat kuarantin untuk jemaah umrah

Kerajaan Malaysia menangguhkan perjalanan Jemaah Umrah BERMULA 08 Januari lalu sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan bagi membendung penularan wabak COVID-19 teruatama varian Omicron - Foto Arkib
 

Jasin: Kerajaan negeri Melaka akan membuka satu pusat kuarantin khas untuk jemaah umrah baru pulang ke tanah air, minggu depan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pusat kuarantin kedua selepas Kuala Lumpur itu akan dibuka di sebuah resort di Alor Gajah, dalam usaha kerajaan membendung penularan varian Omicron.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri masih menunggu keputusan rasmi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berhubung perkara itu.

“Jemaah umrah baru pulang ke tanah air wajib menjalani kuarantin bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada varian Omicron.

“Bagaimanapun, jika seseorang jemaah itu bergejala atau positif varian berkenaan, kita akan menghantarnya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Lipat Kajang, Merlimau, hari ini.

Sehingga semalam, Melaka merekodkan 10 kes jangkitan varian Omricon dengan semuanya membabitkan jemaah yang mengerjakan umrah.

Bagaimanapun, semua jemaah dijangkiti wabak itu sudah pulih sepenuhnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), baru-baru ini melaporkan, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia ialah 245 kes dan 157 daripadanya atau 64.08 peratus membabitkan jemaah umrah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 233 kes adalah jangkitan import, manakala 12 kes lagi penularan tempatan di Sarawak.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, sehingga semalam, sebanyak 245 kes baharu Covid-19 direkodkan di Melaka dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 78,197 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 154 kes sembuh dicatatkan, sekali gus meningkat kepada 75,917 kes sembuh.

“Terdapat 1,319 kes aktif di negeri ini yang sedang menerima rawatan, termasuk lima kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka manakala dua lagi perlu bergantung dengan mesin ventilator sepenuhnya,” katanya. – Harian Metro

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *