Home » Langit Terbuka » Ulama Syria puji umat Islam di Malaysia

Ulama Syria puji umat Islam di Malaysia

Ulama Syria, Syeikh Kurayyim Rajih berkata, beliau melihat umat Islam Malaysia amat menyayangi al-Quran, membina banyak sekolah pondok, tahfiz dan madrasah, malah orang Melayu mengambil berat perihal al-Quran berbanding orang Arab yang semakin leka - Foto NSTP

NILAI – Ulama Syria, Syeikh Kurayyim Rajih memuji umat Islam di negara ini yang dilihat amat mementingkan al-Quran, hadis dan sunnah Rasulullah SAW sedangkan banyak negara Arab mengetepikannya.

Bekas Mufti Mazhab Syafie di negara itu pada 1980-an, berkata beliau sudah merantau ke banyak negara Islam namun keadaan tidak sama seperti di negara ini.

“Di Malaysia, saya lihat umat Islam amat menyayangi al-Quran. Mereka membina banyak sekolah pondok, tahfiz dan madrasah, malah orang Melayu mengambil berat perihal al-Quran berbanding orang Arab yang semakin leka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan nasihat kepada kira-kira 1,000 pelajar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kolej Antarabangsa Unifield (KAU) dan Pelancaran Program al-Quran Bersanad (PROQAB) di Pajam, di sini.

Hadir sama Pengarah Urusan kolej berkenaan, Mohd Asna Amin.

Dalam ucapannya, Syeikh Kurrayim yang juga antara tujuh ulama besar dunia mengingatkan penuntut supaya tidak meninggalkan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

“Banyak negara Arab jadikan al-Quran sebagai bahan bacaan pertandingan tilawah sahaja. Saya berharap suatu hari nanti ia menjadi perlembagaan negara.

“Islam dan al-Quran bermula di Arab tetapi mereka abaikannya dan kini diambil orang Melayu. Saya mahu masyarakat di sini yang mengimani kitab suci datang ke Arab dan ajar semula mereka apa itu al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asna berkata, pihaknya cukup bertuah dengan kehadiran Syeikh Kurayyim yang sudi memperdengarkan bacaan surah al-Fatihah di hadapan penuntut kolej berkenaan.

“Di dunia ini ada tujuh ulama yang memiliki sanad terus kepada Rasulullah SAW dan enam sudah meninggal dunia. Syeikh Kurayyim insan terpilih dan bacaan al-Fatihah hanya melalui 28 guru,” katanya.

Beliau berkata, jemputan terhadap ulama itu bertujuan mengajar penuntutnya kaedah bacaan surah mengikut amalan Rasulullah SAW.

“Bagi pengajian di sini, kami mewajibkan penuntut menghafaz surah al-Mulk, Yasin, as-Sajjadah, al-Insan dan al-Waqiah sebelum tamat pengajian. Sesiapa yang menuntut di kolej layak menerima bantuan Yayasan Pendidikan Bumiputera untuk wang sara hidup, asrama dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini 2,500 pelajar mengikuti pelbagai jurusan pengajian antaranya Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Harta, Diploma Pengurusan Teknologi, Diploma Sains Komputer, Diploma Syariah Islam, Diploma Seni Kulinari dan Diploma Pengurusan Hotel. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *