Home » Langit Terbuka » MHE platform pasaran halal Jepun

MHE platform pasaran halal Jepun

MHE 2019
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak lebih RM50 juta sepanjang MHE 2019 berlangsung. - Foto Bernama

PUTRAJAYA – Ekspo Halal Malaysia (MHE) 2019 yang julung-julung kalinya dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan merupakan platform terbaik kepada usahawan kecil dan sederhana tempatan mempromosi dan memasarkan produk mereka khususnya produk serta perkhidmatan halal ke pasaran dunia terutama Jepun.

MHE akan berlangsung selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dijangka dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dan disasarkan menarik kedatangan lebih 10,000 pengunjung.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa juga akan hadir pada majlis pelancaran pada Khamis ini.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak lebih RM50 juta sepanjang MHE 2019 berlangsung.

Beliau berkata, sebanyak lebih 300 ruang pameran disediakan kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) tempatan memasarkan produk mereka untuk memasuki pasaran Jepun menjelang penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

“Penganjuran MHE merupakan usaha kerajaan untuk mengeksport hasil usahawan negara ke peringkat antarabangsa khususnya Jepun.

“Kita tumpukan produk dan perkhidmatan halal kerana Malaysia adalah negara yang mengepalai urusan perdagangan barangan halal di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Mohd. Hatta, selain sesi padanan perniagaan bersama syarikat Jepun, ekspo MHE akan menyediakan platform perkongsian ilmu antaranya sesi pocket talk dan forum sebagai persiapan bagi produk PKS tempatan memenuhi standard dan piawaian terkini seperti pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Yang turut diadakan ialah Majlis Anugerah Cabaran Inovasi Islam (IIC) bagi menghargai usahawan yang menonjolkan pelbagai produk dan perkhidmatan inovasi Islam.

Mohd. Hatta berkata, penganjuran MHE 2019 adalah susulan kepada memorandum kerjasama (MoC) dalam bidang halal Malaysia-Jepun yang telah ditandatangani pada 26 November lalu antara kedua-dua negara dan Majlis Olimpik Jepun.

Di bawah kerjasama itu, kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang berikut iaitu bantuan kepakaran dalam bidang halal bagi persediaan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, promosi perdagangan dan pelaburan bagi produk dan perkhidmatan halal antara dua negara.

Lain-lain kerjasama membabitkan sokongan dalam pembangunan pensijilan halal, sokongan dalam pembangunan pelancongan mesra Muslim di Jepun dan mana-mana bidang kerjasama halal lain yang dipersetujui.

“Malaysia antara negara yang mempunyai pensijilan halal diiktiraf di seluruh dunia. Kita ambil inisiatif untuk meletakkan diri dalam acara terbesar seperti penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 kerana ia membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan halal mereka,” katanya. – Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *