Home » Langit Terbuka » Umat Islam pertama dicalon jadi Hakim Persekutuan Amerika

Umat Islam pertama dicalon jadi Hakim Persekutuan Amerika

WASHINGTON, 7 Sept – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mencalonkan seorang warga negara itu yang beragama Islam sebagai Hakim Persekutuan Mahkamah Daerah Columbia yang baharu, lapor The Huffington Post, semalam.

Abid Riaz Qureshi dari sebuah firma perundangan di Washington dicalonkan bagi menggantikan Hakim Antonin Scalia yang meninggal dunia awal tahun ini.

“Saya gembira untuk mencalonkan Qureshi untuk berkhidmat di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat.

“Saya yakin beliau akan berkhidmat kepada rakyat Amerika dengan penuh integriti dan memberi komitmen yang teguh kepada keadilan,” kata Obama selepas menyampaikan ucapan mengenai hubungan AS-Laos di Dewan Kebudayaan Nasional Lao di Vientiane, Laos.

Pejuang hak asasi bagi umat Islam menyambut baik pencalonan yang dianggap bersejarah bagi negara itu.

Pengarah Eksekutif Peguambela Islam, Farhana Khera berkata, pelantikan itu mencerminkan kepelbagaian dalam badan kehakiman AS selain memastikan sistem pentadbiran undang-undang dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Bagaimanapun, Obama akan menamakan Qureshi sebelum beliau berundur dari kerusi Presiden, Januari tahun depan.

Pencalonan Qureshi dibuat tatkala kemuncak kempen jawatan Presiden AS yang turut menjadikan anti-Islam sebagai tema meraih undi.

Calon Republikan, Donald Trump dalam siri kempennya mengetengahkan polisi kontroversi mengenai cara AS menangani umat Islam, termasuk melarang masuk ke negara itu. – Agensi

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *