Home » Langit Terbuka » UMK TAWAR PROGRAM ASASI KEPADA LEPASAN PENGAJIAN TAHFIZ

UMK TAWAR PROGRAM ASASI KEPADA LEPASAN PENGAJIAN TAHFIZ

UMK turut menawarkan beberapa kursus pengajian Tahfiz al-Quran dan Fiqh Ayat-ayat al-Quran. Selain itu kurikulum FICT juga mengambil kira integrasi di antara ilmu al-Quran dan ICT dalam beberapa kursus yang ditawarkan - Foto UMK

KOTA BHARU – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan menawarkan program Asasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi Tahfiz (FICT) kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil pengajian Tahfiz al-Quran di peringkat sekolah.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata pengambilan pertama program tersebut dijangka bermula pada semester Jun 2023/2024 selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau berkata program pengajian menerusi Jabatan Sains Data itu akan mengambil masa selama satu tahun atau dua semester.

“UMK turut menawarkan beberapa kursus pengajian Tahfiz al-Quran dan Fiqh Ayat-ayat al-Quran. Selain itu kurikulum FICT juga mengambil kira integrasi di antara ilmu al-Quran dan ICT dalam beberapa kursus yang ditawarkan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMK Prof Dr Razli Che Razak.

Mohamad Fatmi berkata syarat kemasukan bagi program tersebut adalah memiliki dan lulus SPM lepasan maahad tahfiz, maahad sains tahfiz, sekolah menengah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), sekolah menengah agama dan sekolah-sekolah lain yang berkenaan.

Beliau berkata keutamaan akan diberikan kepada pelajar daripada keluarga golongan B40.

“Syarat kemasukan juga memerlukan pelajar mendapat sekurang-kurangnya tiga kepujian gred C termasuk kepujian Bahasa Melayu dan Matematik.

“Selain itu mereka juga telah menghafal sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran dan lulus temu duga,” katanya.

Sementara itu, UMK memberikan diskaun yuran kepada pelajar yang mengikut latihan industri sebanyak 78 peratus, berkuat kuasa serta-merta.

Mohamad Fatmi berkata keputusan itu dibuat sebagai tanda keprihatinan universiti awam itu terhadap aspek kebajikan pelajar-pelajar terutama daripada keluarga golongan B40.

“Kira-kira 2,500 pelajar UMK menjalani latihan industri setiap tahun. Langkah ini antara inisiatif UMK untuk membantu pelajar terutama dalam keadaan sekarang seperti harga barangan naik termasuk kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya. – AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *