Home » Citra Yadim » Ummatic 2.0 bakal himpun selebriti dakwah

Ummatic 2.0 bakal himpun selebriti dakwah

PUTRAJAYA – Festival Ummatic 2.0 yang dijadualkan pada 27 September ini bakal menghimpunkan pelbagai selebriti dakwah sebagai tarikan untuk orang ramai menghadirinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, dijadualkan merasmikan festival ini yang diadakan di perkarangan Masjid Al Fateh, Ipoh. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) merupakan penganjur bersama festival yang kali kedua diadakan ini.

Penganjurannya bertujuan menjadikan masjid dan sebagai one stop center, bukannya sekadar tempat ibadah dan kuliah semata mata, serta menyebarkan rahmah untuk semua.

Bagi memastikan program berjalan lancar, mesyuarat pelaksanaan peringkat pusat kali kedua melibatkan jawatankuasa penggerak dengan Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin telah diadakan di sini pada 22 Julai.

Hasil perbincangan, jawatankuasa pelaksana komited untuk menjayakan festival dan akan memastikan ikon ikon dan selebriti dakwah yang dipilih hadir.

Ia bermula dengan penampilan Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh dalam program Usrah Mukminat pada jam 3 petang pada hari pertama festival ini. Disusuli oleh Pengasas Multi Racial Reverted Muslim, Firdaus Wong Wai Hung pada jam 5 petang menerusi slot Street Dakwah serta kuliah Maghrib oleh beliau selepas itu.

Pada jam 9.30 malam pula, Pengacara TV Al Hijrah, Amin Idris dijadualkan menjadi moderator kepada program Forum Perdana.

Forum Perdana ini bakal menampilkan Yang Dipertua YADIM,Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz sebagai ahli panelnya di samping Pensyarah Kuiscell, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid  dan pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Syarifah Hayati Syed Ismail.

Pada hari kedua pula, pengunjung berpeluang mendengar kuliah subuh khas, yang dijadualkan disampaikan oleh Zolkharnain, manakala kuliah Maghrib pula oleh Duta Rahmah, Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Malam Kesenian Ummatic menyusul selepas itu, dan para pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan Taranum Al Haramian yang bakal disampaikan oleh Syeikh Abdul Karim Omar Al Fatani Al Makki, Ustaz Mohd Radzi Kamarul Hailan dan Ustaz Syed Muzaffar Syed Azlan.

Sementara itu, hari ketiga pula dimulakan dengan kuliah Subuh oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Pada hari yang sama, pengunjung berpeluang bertemu pakar motivasi, Ahmad Fakhri Hamzah dalam slot Teh Tarik Session pada jam 3 petang.

Kuliah Maghrib pada hari ini pula dijadualkan disampaikan oleh Ustaz Haslin Baharin sebelum majlis  perasmian penutupan festival ini berlangsung.

Orang ramai pada malam ini bakal berpeluang menyaksikan persembahan oleh artis jemputan iaitu Heliza dan Hazwani Helmi dan kumpulan In Team.

Selain peluang bertemu selebriti dakwah yang dirancang bagi program ini, Ummatic 2.0 juga sebenarnya padat dengan aktiviti lain seperti senam seni, pertandingan permainan elektronik Mobile Legend, acara memanah dan berkuda, pemeriksaan kesihatan, demonsrasi motosikal berkuasa tinggi dan sebagainya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *