Home » Langit Terbuka » Urusan rasmi kekal guna Bahasa Melayu

Urusan rasmi kekal guna Bahasa Melayu

Perlembagaan kita telah memenuhi segala kehendak berkenaan perlindungan bahasa kebangsaan, kata Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian kerajaan untuk tetap mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi negara.

Beliau, bagaimanapun berkata dalam keadaan tertentu terjemahan ke dalam bahasa lain seperti Bahasa Inggeris perlu dibuat bagi memberi penjelasan kepada mana-mana orang asing yang turut berada dalam sesuatu majlis rasmi itu.

“Perlembagaan kita telah memenuhi segala kehendak berkenaan perlindungan bahasa kebangsaan tetapi ada kalanya terjemahan dibuat dalam bahasa lain, namun yang rasmi ialah Bahasa Melayu kerana terjemahan bukan rasmi. Kalau tidak betul itu hal dia dan yang betul serta boleh dibawa ke mahkamah adalah yang ditulis dalam Bahasa Melayu.

“Kita perlu menentukan (mengambil kira) orang asing yang datang ke Malaysia yang tidak fasih Bahasa Melayu untuk memahami apa yang kita katakan. Sebab itu kadangkala ada menteri menggunakan Bahasa Inggeris atau Tamil atau Mandarin untuk jelaskan, tetapi penjelasan itu tidak dikira sebagai rasmi,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu pendirian kerajaan terhadap laporan beberapa kementerian menggunakan Bahasa Mandarin dan Tamil dalam urusan rasmi.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Santhara Kumar (PH-Segamat) mengenai penggunaan Bahasa Inggeris dan bahasa lain dalam surat ucapan tahniah dan takziah kepada negara lain, Dr Mahathir berkata perkara itu adalah amalan biasa.

“Dalam hubungan antara negara amat penting maksud sesuatu surat difahami oleh sasaran. Malah saya selalu terima surat daripada orang Eskimo umpamanya, mereka memberi tafsiran dalam Bahasa Inggeris kerana kalau tidak saya tidak boleh faham.

“Tetapi yang dianggap sebagai rasmi ialah bahasa kebangsaan dalam bangsa itu sendiri. Bagi Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi. Apabila kita tulis surat kita guna Bahasa Melayu dan diterjemahkan ke Bahasa Inggeris,” katanya.

Bagi pertanyaan asal Shamsul Anuar mengenai jaminan kerajaan terhadap hak Melayu dan Bumiputera terus terbela, Dr Mahathir berkata hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu tetap terjamin dan dipertahankan kerajaan Pakatan Harapan.

“Sehubungan itu perkara berhubung hak-hak Melayu dan Bumiputera serta penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang cadangan pindaan berhubung perkara tersebut hendaklah dirundingi dan mendapat persetujuan Majlis Raja-raja selaras kehendak Perkara 159 dan 38 Perlembagaan Persekutuan, sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Kerajaan saring individu sampaikan ajaran Islam

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan saringan terhadap individu yang akan menyampaikan ajaran Islam di negara ini bagi mengekang penyebaran liberalisme yang berselindung

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *