Home » Langit Terbuka » USIM gondol anugerah penyelidikan, pendidikan kewangan

USIM gondol anugerah penyelidikan, pendidikan kewangan

NILAI 4 Okt.  – Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) berjaya menggondol ‘Anugerah Penyelidikan dan Pendidikan Kewangan Islam Paling Cemerlang’ pada majlis penyampaian anugerah sempena Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur  (KLIFF) 2017 di Hotel Istana Kuala Lumpur semalam.

Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, adalah menjadi suatu penghormatan kepada Usim dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) khususnya menerima anugerah yang paling berprestij itu.

“Sebagai sebuah universiti Islam komprehensif paling muda yang dimiliki sepenuhnya dan dibiayai oleh kerajaan, Usim menggarap pendekatan holistik ke arah penyampaian pengetahuan yang menyatukan sains pendedahan (pengetahuan Naqli) dan sains rasional (pengetahuan Aqli).

“Perintis dan fakulti terkemuka di bidang Muamalat (Perniagaan Islam) iaitu FEM memainkan peranan penting di Usim untuk memperluaskan skop program universiti ini ke arah yang lebih dinamik dan dipercayai.

Sehingga kini, FEM telah menghasilkan lebih daripada 3,000 graduan berpengetahuan, mahir dan berwibawa yang menyumbang kepada pelbagai bidang termasuk dalam industri perbankan dan kewangan Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berharap penganugerahan yang diterima kali pertama daripada KLIFF ini akan dapat menyemarakkan lagi semangat dan usaha gigih fakulti itu dalam memperkasakan pendidikan kewangan dan perbankan Islam serta penyelidikan.

Katanya keupayaan fakulti itu yang sentiasa menyokong inisiatif penyelidikan mengenai kewangan dan perbankan Islam, termasuk kajian penyelidikan yang dibentangkan dalam persidangan berprestij di dalam dan luar negara sebelum ini, dapat menawarkan penyelesaian kepada isu-isu yang kritikal untuk pembangunan.

Musa berkata bukan sahaja bagi inisiatif syariah dan tadbir urus, tetapi juga untuk kelestarian dan kemaslahatan industri kewangan Islam secara keseluruhannya.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua warga FEM atas komitmen dan usaha keras mereka untuk memastikan kejayaan demi kejayaan dicapai pada masa akan datang,” katanya.

Majlis anjuran CIMB Islamic itu dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *