Home » Langit Terbuka » Banyak pusat tahfiz masih gagal patuhi peraturan keselamatan kebakaran

Banyak pusat tahfiz masih gagal patuhi peraturan keselamatan kebakaran

JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA (JBPM) mendapati banyak pusat tahfiz di seluruh negara masih gagal mematuhi peraturan keselamatan kebakaran yang ditetapkan.

Walaupun tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah di Kuala Lumpur pada 14 September lalu meragut 23 nyawa, pemeriksaan JBPM sepanjang minggu lalu menyaksikan 76 pusat tahfiz dan sekolah pondok setakat ini masih tidak menepati tahap keselamatan termasuk laluan keselamatan terhalang.

Turut dikesan wujud aktiviti memasak di dalam asrama, jumlah penghuni dan katil yang terlalu padat serta penyambungan atau pendawaian elektrik yang berlebihan.

Hal tersebut didedahkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Soiman Jahid semalam dan pihaknya telah memberikan notis kepada kesemua premis terbabit agar mengambil langkah segera bagi mematuhi peraturan keselamatan kebakaran.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas JBPM sejak 24 September lalu perlu memeriksa sebanyak 1,200 pusat tahfiz dan sekolah pondok sama ada berdaftar atau tidak.

Sehubungan itu, 228 daripadanya telah diperiksa oleh jawatankuasa tersebut setakat minggu lalu manakala pemeriksaan ke atas premis lain diteruskan sehingga 19 Oktober ini.

Laporan penuh kemudiannya akan diserah kepada kerajaan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Soiman dilapor berkata, pihaknya pada tahap permulaan mahu memastikan aspek peraturan asas dipatuhi pemilik pusat tahfiz dan sekolah pondok sebelum ke peringkat selanjutnya termasuk penyediaan tangga yang mencukupi.

Dalam perkembangan berkaitan, di KELANTAN, JBPM negeri setakat bulan lalu mendapati kurang dua peratus atau hanya tiga daripada 163 sekolah pondok di negeri itu memiliki Sijil Kelayakan Menduduki (CF).

Bagaimanapun, Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood dilapor berkata, 146 sekolah pondok mempunyai surat sokongan dari jabatan itu selepas pemilik premis melakukan pengubahsuaian struktur bangunan selain memperbaiki sistem pendawaian elektrik.

Kesemua premis yang memperoleh surat sokongan JBPM itu berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Di TERENGGANU, sebanyak 25 pusat pengajian Islam dikesan tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri dengan 14 daripadanya sekolah pondok atau madrasah manakala masing-masing tiga bagi Sekolah Agama Rakyat (Rendah dan Menengah) serta Sekolah Rendah Agama (SRA) Negeri.

Selain itu, dua SRA Swasta dan masing-masing satu bagi maahad tahfiz swasta, Sekolah Menengah Agama (SMA) Swasta dan SRA Rakyat.

JBPM Terengganu pula setakat 17 September lalu telah memeriksa 12 daripada 47 pusat tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Pihak JBPM negeri itu mendapati beberapa premis yang diperiksa gagal mematuhi sistem keselamatan kebakaran terutama dari segi laluan keluar ketika kecemasan selain alatan pemadam kebakaran yang perlu diservis dengan baik.

Dalam hal berkaitan, pemeriksaan JBPM Terengganu di Maahad Tahfiz Ar-Rahmah, Kampung Paloh, Sungai Kiat di Kuala Terengganu pada 17 September lalu mengarahkan susunan kerusi meja diubah agar pelajar dapat keluar dengan cepat jika berlaku kecemasan.

Di KEDAH, terdapat 147 buah pusat tahfiz, pondok serta sekolah agama rakyat berdaftar dengan JBPM. Namun, kira-kira 80 peratus daripada 118 premis tersebut yang diperiksa gagal mematuhi aspek keselamatan kebakaran.

Teguran bertulis telah dikeluarkan kepada premis terbabit sehingga Julai lalu antaranya kerana tidak mempunyai alat pemadam api, sistem gelung hos, pengesan api automatik, penggera kebakaran elektrik manual, tangga kedua, tanda keluar kecemasan dan lampu kecemasan.

Di PERAK, 49 daripada 64 pusat tahfiz di negeri itu telah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) setakat pertengahan September lalu ekoran program pemutihan sejak awal tahun ini.

Sebanyak 15 lagi premis yang tidak berdaftar itu dikesan selepas JAIPk turun padang dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Di SELANGOR, terdapat 402 pusat tahfiz dan sekolah pondok dengan 104 daripadanya telah diperiksa semula oleh JBPM negeri sejak 21 September lalu.

Walau bagaimanapun, majoriti daripada premis yang diperiksa itu didapati masih mempunyai hanya satu pintu keluar jika kecemasan sama seperti kes di Kampung Datuk Keramat.

JBPM Selangor pada 26 September lalu mendedahkan premis terbabit juga tidak sempurna sistem pendawaian dan tiada alat pemadam api.

Di NEGERI SEMBILAN, terdapat 148 sekolah aliran agama berdaftar di seluruh negeri itu dengan antaranya memiliki asrama penginapan murid terlalu sempit.

Situasi itu diperoleh JBPM dalam pemeriksaan mengejut sehari selepas tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah di ibu negara.

Murid dan warden di sebuah pusat tahfiz di Seremban juga didapati tidak mengetahui di mana kunci pintu menghubungkan bilik asrama dengan tangga kecemasan disimpan.

Di MELAKA, 72 peratus atau 38 daripada 53 sekolah agama swasta di negeri itu membabitkan seramai 3,115 pelajar berisiko terdedah bahaya apabila tidak menepati piawaian pelan keselamatan bangunan.

Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dilapor berkata, jumlah tersebut merangkumi 14 sekolah agama di daerah Melaka Tengah dan masing-masing 12 di Alor Gajah dan Jasin.

Pada mesyuarat bersama 53 wakil pihak pengurusan sekolah agama swasta pertengahan Ogos lalu, MAIM mendapati hanya 11 sekolah termasuk sembilan pusat tahfiz dan dua sekolah menengah Islam swasta lulus berdaftar sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, empat lagi tidak mengisi borang untuk tindakan pendaftaran selanjutnya. Sementara itu, Madrasah Pondok Darul Muttaqim di Krubong menjadi pusat tahfiz pertama di Melaka menubuhkan Skuad Bomba Pondok yang dilancarkan pada 6 Mei lalu.

Di JOHOR, terdapat 19 pusat pengajian Islam swasta masih belum berdaftar seperti didedahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dua hari selepas tragedi kebakaran maut menjelang Subuh di Kuala Lumpur itu.

Daripada jumlah itu, 15 adalah madrasah tahfiz manakala masing-masing dua SMA Swasta dan SRA Swasta.

Berbeza dengan negeri lain, PERLIS menyaksikan kesemua 12 pusat tahfiz yang berdaftar dengan pihak JBPM selamat dan memenuhi piawaian ditetapkan berikutan struktur bangunannya yang sama seperti sekolah kebangsaan.

Bagi membolehkan sistem keselamatan di maahad tahfiz ditingkatkan, pemilik pusat pengajian itu di seluruh negara diseru mengemukakan pelan premis masing-masing kepada pihak bomba.

Dalam hal berkaitan, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, pemilik pusat tahfiz antara pihak yang boleh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan menyebabkan kematian secara cuai. – https://malaysiadateline.com

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *