Home » Langit Terbuka » USIM serah dua projek prasarana bantu Muslim Krabi

USIM serah dua projek prasarana bantu Muslim Krabi

Naib Canselor USIM, berkata , usaha tersebut merupakan hasil inisiatif program Global Islamic Student Outreach USIM yang disertai mahasiswa dan mahasiswi universiti tersebut. - Foto Utusan Malaysia

KRABI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyerahkan dua buah projek pembangunan infrastruktur fizikal kekal untuk manfaat komuniti Muslim Krabi, Thailand, hari ini (1 April).

Projek pembangunan kekal tersebut ialah pembinaan tiga unit tandas dan tempat wuduk bagi kegunaan Masjid Kariah Kampung Naiyuan untuk dimanfaatkan para jemaah dan penuntut Madrasah Ban Naiyuankhak yang terletak dalam kawasan masjid berkenaan.

Projek prasarana fizikal kedua ialah pembinaan kolah wuduk berbumbung untuk Madrasah Baba Soleh yang terletak di Kampung Klong Kamau, Daerah Naklong, Krabi.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata , usaha murni tersebut merupakan hasil inisiatif program Global Islamic Student Outreach (GISO) USIM yang disertai mahasiswa dan mahasiswi universiti tersebut.

“Seramai 400 siswa yang dibahagikan kepada lima kumpulan GISO secara berkala telah digerakkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM sebelum ini bermula tahun 2017 untuk datang ke sini bagi memastikan projek infrastruktur ini berjaya”.

“Alhamdulillah, akhirnya projek hasil air tangan dan usaha sendiri siswa USIM yang menelan kos keseluruhan lebih RM 50,000 berjaya disiapkan semuanya pada akhir 2018. Dana yang dikumpul bagi projek ini dijana secara sendiri oleh siswa USIM melalui program keusahawanan dan penajaan yang mereka lakukan. Saya amat berbangga dengan kesungguhan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

Di kedua-dua madrasah ini juga, siswa USIM turut membantu menaik taraf dan menambahbaik kemudahan kelas-kelas pengajaran seperti penggantian kerusi, meja, papan hitam dan tingkap kelas yang rosak bagi memberi keselesaan kepada murid-murid di sana.

Dalam majlis yang sama, Musa turut mengumumkan USIM berbesar hati menjadikan Kampung Naiyuan sebagai kampung angkat USIM agar usaha murni untuk membantu penduduk kampung ini dalam aspek prasarana dan pendidikan anak-anak khususnya berkaitan pengajian al-Quran dapat diteruskan pada masa hadapan.

Menariknya, seramai 40 keluarga fakir miskin turut menerima sumbangan barangan keperluan dapur serta bantuan beg sekolah kepada 50 orang penerima selain bantuan kewangan sebanyak RM 1,500.00 bagi keguaan Madrasah Ban Naiyuankhak dan Madrasah Babu Soleh.

Dalam pada itu, imam Masjid Kariah Kampung Aoluk, Ustaz Hashim Butthea melahirkan rasa kesyukuran atas sumbangan infrastuktur yang disumbangkan USIM.

“Ini adalah sumbangan dan projek pertama diterima kampung kami dari universiti Malaysia. Ia sesuatu yang amat menyentuh hati kerana prihatinnya siswa USIM pada keperluan penduduk kampung dan anak-anak madrasah. Semoga silaturrahim ini erat terjalin dan pada masa hadapan nanti ada antara anak-anak kami yang berjaya melanjutkan pengajian ke USIM”, katanya.

Majlis penyerahan ini diadakan bersempena Kembara Mahabbah GISO Krabi 6.0 yang disertai seramai 124 siswa USIM.

Kumpulan ini telah melaksanakan pelbagai program khidmat komuniti, pemindahan ilmu dan pemuliharaan alam dengan masyarakat Muslim Krabi semenjak 28 Mac lalu dan berakhir pada hari ini. – Utusan Malaysia

 

 

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *