Home » Wacana » Wali perlu bela isteri terabai, daif

Wali perlu bela isteri terabai, daif

TIDAK cakna undang-undang keluarga Islam antara punca ramai isteri hidup menderita dan buntu dalam mencari jalan keluar bagi menyelesaikan konflik dihadapi dalam rumah tangga.

Akhirnya, ada yang memilih jalan perceraian hanya kerana masalah atau isu remeh, bahkan ada wanita tidak berani ke depan, sebaliknya membiarkan diri terus teraniaya kerana perbuatan suami tidak bertanggungjawab.

Hal ini berlaku kerana kurangnya penekanan kepada nilai rahmah (kasih-sayang) yang sepatutnya menjadi tunjang kepada keharmonian dan pembentukan keluarga bahagia.

Firman Allah SWT: “Dan antara tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dengannya dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang berfikir.” (Al-Rum: 21)

Dalam konteks menuju kepada keluarga rahmah, ia tidak hanya berkait peranan suami mahupun isteri, sebaliknya setiap anggota masyarakat perlu sedar tanggungjawab dalam merealisasikannya.

 

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, berkata apabila masyarakat mempraktikkan gagasan rahmah dalam kehidupan, ia mampu mengurangkan pelbagai konflik dalam institusi keluarga Islam.

Beliau berkata, antara perkara yang dilihat begitu meruncing dalam kalangan umat Islam adalah dalam konteks pemerkasaan wali.

“Islam sudah cukup cantik dan sempurna, malangnya ramai yang masih tidak faham konsep menyempurnakan nafkah atau perwalian.

“Maka, umat Islam hari ini perlu kembali kepada cara hidup yang sebenarnya khususnya membaik pulih sistem keluarga yang songsang,” katanya pada Seminar Advokasi Kekeluargaan Islam yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Nik Salida Suhaila ketika membentangkan Cakna Undang-Undang: Merealisasi Keluarga Rahmah berkata, antaranya dalam soal nafkah, ramai umat Islam tidak sedar mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunaikannya dalam keadaan yang tertentu.

“Misalnya, apabila seorang bapa melakukan kesalahan jenayah dan dihukum penjara, kalau dilihat keadaan semasa, ramai golongan ibu mengambil tugas ketua keluarga untuk mencari nafkah.

“Sebenarnya, tugas memberikan nafkah sebenarnya jatuh kepada wali mengikut kronologi antaranya datuk sebelah bapa, saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak saudara lelaki seibu sebapa hingga seterusnya.

“Dalam kes tiada wali berkemampuan, barulah kerajaan mengambil tanggungjawab untuk membantu keluarga sama ada melalui saluran Baitulmal, zakat atau wakaf,” katanya.
Menurut Nik Salida Suhaila, akhirnya ada antara ibu atau isteri yang kesempitan hidup terpaksa mengabaikan anak kerana perlu bekerja dan mengambil tempat sebagai ketua keluarga.

“Sebab itu saya katakan, pengurusan keluarga kita sudah jadi terbalik dan tidak mengikut syariat Islam yang sebenar.

“Bahkan lebih memburukkan keadaan di era teknologi hari ini, isteri dalam kesusahan mengambil langkah meminta derma atau sumbangan dengan kuasa tular bagi membantu masalah keluarga yang dihadapi.

“Sepatutnya wali perlu bertanggungjawab dan bukannya bersikap lepas tangan,” katanya.

Beliau berkata, realiti dalam masyarakat kini tidak hanya membabitkan isteri diceraikan atau kematian suami, sebaliknya ada pasangan dibebani tuntutan kewangan kerana pendapatan suami rendah hingga tidak mampu menyediakan kelengkapan harian dan menghantar anak ke sekolah.

“Dalam kes sebegini dan dalam keadaan bapa atau suami yang sudah berikhtiar tetapi masih buntu, maka wajib pihak wali meringankan beban mereka.

“Begitu juga isteri bersuamikan orang kurang upaya (OKU) yang tidak boleh memberikan nafkah, maka sekiranya dia memilih bekerja dan menyara keluarga, ini nilai rahmah yang berjaya disemai,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam situasi suami secara sengaja mengabaikan keperluan nafkah, isteri wajar bertindak dengan mendapatkan perintah mahkamah bagi menuntut hak.

Nik Salida Suhaila yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berkata, masih ramai yang tidak cakna isu cerai mutaah.

“Cerai mutaah ialah perpisahan yang terjadi bukan berpunca daripada pihak isteri. Maksudnya, isteri menjalankan tanggungjawabnya dengan baik hingga tiada alasan untuk suami menceraikannya.

“Maka, isteri layak menerima mutaah atau wang sagu hati perceraian, iaitu sebagai modal untuk wanita ini memulakan kehidupan baharu selepas perceraian,” katanya.

Mengulas tuntutan bayaran mutaah katanya, ia ditentukan mengikut purata kos sara hidup harian wanita itu dalam tempoh masih bergelar isteri yang sah.

“Misalnya, kos harian seorang isteri, iaitu termasuk makan minum, sakit dan belanja bagi wanita berkerjaya berjumlah RM30 sehari, maka ia perlu didarabkan dengan jumlah tempoh perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata, nafkah kepada bekas isteri bagi kes selain mutaah tertakluk kepada jumlah tanggungan dan keperluan mereka.

“Biasanya, mahkamah akan mengambil kira kemampuan suami. Contohnya, kos bagi penjagaan seorang anak ialah RM2,000, namun bayangkan jika ada tiga anak, maka nafkah perlu dibayar adalah RM6,000.

“Bagi suami tidak berkemampuan, mahkamah akan mengurangkannya mengikut keperluan asasinya, namun bagi sesetengah isu, ada suami tidak mengisytiharkan pendapatan dengan tepat.

“Ini antara bentuk kurangnya rahmah dalam keluarga hingga ada tidak bersikap jujur seperti dianjurkan agama,” katanya.

Justeru katanya, wajar dilaksanakan transformasi dalam kehidupan berkeluarga selari dengan syariat Islam bagi mengelakkan pelbagai implikasi negatif antaranya masalah sosial anak-anak, isu tuntutan nafkah yang tidak pernah selesai dan peningkatan kes perceraian dalam kalangan umat Islam. – Berita

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *