Home » Langit Terbuka » Wan Nur Faezah banggakan negara

Wan Nur Faezah banggakan negara

Wan Nur Faezah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke University of Liverpool selama tiga tahun bermula September 2015 - Utusan Malaysia

 

KUALA TERENGGANU – Seorang anak Terengganu, Wan Nur Faezah Wan Mustafa, 23, membanggakan negara dalam bidang akademik setelah meraih First Class (Hons) Ijazah Perakaunan di University of Liverpool, England baru-baru ini.

Kejayaan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud itu menarik perhatian umum, malah Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohktar turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan anak jati kampung Pinang, Besut itu.

Dalam satu kenyataan, katanya, pujian juga harus diberikan kepada ibu bapa pelajar itu, Wan Mustafa Hussin, 56, dan Zaiton Zakaria, 54, di atas pencapaian anak kedua daripada empat beradik itu.

“Saya juga difahamkan bahawa beliau datang dari keluarga yang kurang berkemampuan, namun ia bukanlah satu halangan untuk mengecapi kejayaan ini.

“Kejayaan anak kelahiran Besut yang juga anak petani ini turut menjadi kebanggaan rakyat Terengganu dan diharapkan dapat menjadi penyuntik semangat buat pelajar lain untuk mencontohi beliau,” katanya.

Wan Nur Faezah memperoleh keputusan 8A+ dan 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014, ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti selama tiga tahun bermula September 2015.

Walaupun beliau mendapat tajaan Mara, namun disebabkan faktor kekangan kewangan keluarga, pernah dilaporkan sebelum pemergiannya, pelajar cemerlang itu berdepan kesukaran bagi menyediakan keperluan diri.

Wan Nur Faezah mendapat tawaran itu ketika sedang belajar di International Baccalaureate Kolej Mara Banting. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *