Home » Langit Terbuka » Wanita Melayu bakal Presiden Singapura?

Wanita Melayu bakal Presiden Singapura?

SINGAPURA 9 Feb. – Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob disebut-sebut bakal menjadi Presiden wanita pertama republik ini selepas aksi seorang menteri tersasul me­nyapa beliau sebagai ‘Puan Presiden’ dan bukannya ‘Puan Speaker’ menjadi tular di internet.

Ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Pilihan Raya Presiden Singapura (Pindaan) pada Isnin lalu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Chan Chun Sing tersilap memanggil Halimah ‘Puan Presiden’ seba­nyak dua kali.

`‘Kesilapan’ itu bagaimanapun mendapat maklum balas menggalakkan dalam kalangan anggota Parlimen yang menyokong Speaker tersebut ber­tanding jawatan Presiden yang memang dikhaskan untuk Melayu selepas Yusof Ishak menjadi Presiden Singapura pertama hampir 50 tahun lalu.

Malah, rakyat republik ini seolah-olah ‘merestui’ pemilihan beliau apabila pengguna internet memberi reaksi ‘Rakyat mengucapkan tahniah kepada Halimah Yacob kerana menjadi Presiden yang baharu’.

Bagaimanapun, Halimah ma­sih belum menunjukkan sebarang minat untuk bertan­ding.

Selain Halimah, 62, beberapa tokoh Melayu dalam sektor awam dan swasta dilihat berpotensi memenangi pemilihan Presi­den pada September ini.

Pada November tahun lalu, Channel NewsAsia menyiarkan satu artikel bertajuk Singapore’s next President: A look at potential contenders yang menyebut bekas menteri dan Speaker Parlimen, Abdullah Tarmugi sebagai calon berpotensi.

Menteri-menteri yang ada ketika ini seperti Yaacob Ibrahim, Masagos Zulkifli dan bekas anggota Parlimen Zainul Abidin Rasheed juga disebut-sebut ba­kal bertanding.

Bagi sektor swasta dan awam, nama yang dipetik ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank of Singapore, Bahren Shaari dan anggota Suruhanjaya Per­khidmatan Awam, Po’ad Mattar.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong beberapa bulan lalu ketika ditanya sama ada beliau mempunyai calon tertentu bagi jawatan Presiden berkata, tidak ada sesiapa yang disenarai pendek.

“Ini bergantung kepada siapa yang tampil ke depan. Bukan urusan kerajaan untuk menga­turnya,” jelasnya.

Hsien Loong mencadang­kan pindaan kepada Perlembagaan yang antara lain menyaksikan ‘model cetusan hitus’ yang dibuat bagi memastikan perwakilan bersifat pel­bagai kaum dalam pejabat Presiden.

Perkara itu diluluskan pada 9 November lalu dengan anggota-anggota Parlimen mengundi memihak kepada cada­ngan kerajaan membuat satu perubahan pemilihan bakal Presi­den dengan 77 anggota Parlimen menyokong manakala enam lagi menolak.

Singa­pura me­lalui lima penggal tanpa Mela­yu di­pilih menjadi Presiden selepas Yusof Ishak yang berkhid­mat sejak 1965 hingga 1970.

Tempoh penggal Presiden ketika ini iaitu Tony Tan Keng Yam tamat pada 31 Ogos ini. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *