Home » Langit Terbuka » Wanita New Zealand jijik pakaian pramugari Malaysia seksi      

Wanita New Zealand jijik pakaian pramugari Malaysia seksi      

Seorang wanita warga New Zealand menulis surat dengan menyatakan rasa terlalu 'jijik' apabila melihat pramugari penerbangan yang dinaikinya memakai skirt yang terlalu pendek dan pengalamannya berhadapan dengan pramugari daripada syarikat penerbangan tersebut. (Gambar Hiasan)

KOTA BHARU 14 Jan. – Syarikat penerbangan di negara ini sekali lagi digesa supaya menguatkuasakan pakaian yang menutup aurat untuk setiap pramugarinya supaya tidak menjejaskan imej dan memberikan tanggapan yang salah terhadap Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negara, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, beliau telah menerima sepucuk surat daripada seorang wanita warga New Zealand yang melahirkan rasa ‘jijik’ ke atas uniform pramugari sebuah syarikat penerbangan negara.

Beliau berkata, Dr. June Robertson menyatakan bahawa beliau menulis surat tersebut sebagai respon kepada gesaannya di dalam Dewan Negara supaya pakaian menutup aurat dikuatkuasakan ke atas semua pramugari terbabit.

“Robertson menulis surat ini selepas membaca laporan berita di New Zealand berhubung penolakan saya terhadap pakaian pramugari yang terlalu seksi.

“Dalam surat itu Robertson menyatakan beliau datang ke Malaysia dua kali setahun sejak 10 tahun lalu kerana sukakan negara ini. Beliau merasa terlalu ‘jijik’ apabila melihat pramugari penerbangan yang dinaikinya memakai skirt yang terlalu pendek dan pengalamannya berhadapan dengan pramugari daripada syarikat penerbangan tersebut.

“Pada Oktober 2017, beliau telah menaiki penerbangan dari Auckland ke Kuala Lumpur, seorang pramugari yang sedang memberikan layanan di kelas bisnes membiarkan bajunya di bahagian atas terbuka, beliau meminta wanita tersebut memakai jaket kerana dia sedang tunduk ke arah mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 12 Disember lalu, dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di Dewan Negara semalam, Hanafi mencadangkan agar kerajaan memperkenal peraturan pakaian patuh syariah kepada pramugari di semua syarikat pe­nerbangan Malaysia.

Beliau dilaporkan berkata, sudah tiba masanya kerajaan menyediakan peraturan pakaian baharu supaya dapat memberi gambaran Malaysia sebagai negara Islam dan memegang ciri-ciri budaya Timur yang kuat.

Mengulas lanjut, Hanafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas berkata, langkah tersebut tidak akan merugikan syarikat penerbangan kerana kualiti sesebuah penerbangan bergantung kepada perkhidmatan ditawarkan.

“Robertson turut membandingkan syarikat penerbangan tersebut dengan syarikat-syarikat penerbangan Eropah, New Zealand dan Amerika Syarikat pun tidak memakai skirt yang sesingkat itu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa ramai orang luar terutama wanita termasuk orang-orang Barat merasakan wanita tidak perlu berpakaian sebegitu untuk melariskan jualan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *