Home » Citra Yadim » Yadim anjur Jelajah Muamalah Ummah (JMU)

Yadim anjur Jelajah Muamalah Ummah (JMU)

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan program Jelajah Muamalah Ummah (JMU) dan Karnival Muamalah melibatkan politeknik di negeri-negeri Pantai TImur bermula 23 September hingga  27 September ini.

Pengurus Eksekutif Bahagaian Muamalah Yadim, Zamzarizal Mad Ariffin berkata, melalui program itu, petugas Yadim bersama beberapa agensi lain seramai 60 orang akan menjelajah ke politeknik seperti  Politeknik Kota Bharu, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, Terengganu, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan dan Politeknik Muadzam Shah, Pahang bagi mengadakan pelbagai program berkaitan muamalah Islam.

Menurutnya, selain daripada politeknik yang disinggahi oleh konvoi berkenaan, beberapa politeknik lain akan turut menyertai program-program yang diadakan itu termasuk Politeknik Jeli, Politeknik Kuala Terengganu, Politeknik Hulu Terengganu dan Politeknik Metro Kuantan.

“Antara lain, program ini bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat khususnya golongan muda terhadap konsep  muamalah kewangan Islam dan masalah ummah yang betul

“Di samping itu, jelajah ini dapat mengeratkan lagi ukhuwwah fillah di kalangan ahli-ahli Sahabat YADIM di universiti awam dan politeknik-politeknik Malaysia di Zon Timur,’’ jelasnya.

Beliau berkata, di setiap perhentian, pelbagai program dirancang seperti forum muamalah, ceramah, pameran, pelancaran Sahabat Yadim, aktiviti tanggungjawab korporat (CSR), program Bicara Ummah Akhir Zaman dan Simposium Muamalah Islam.

Malahan katanya, program yang diadakan turut melibatkan selebriti terkenal seperti Pencetus Ummah (PU) Syed yang akan mengendalikan slot-slot tazkirah, Hafiz Hamidun dalam Malam Kalimah Cinta Bermula di Politeknik Muadzam Shah pada 26 September dan Yatt Hamzah dalam Magnet Kejayaan pada 27 September di politeknik yang sama.

Selain itu, menurutnya, konvoi akan turut disertai oleh sebuah bas daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang akan menyediakan perkhidmatan cucian dan gadaian emas.

Jelajah ini yang membawa tema `Muamalah Terjaga, Ummah Terpelihara’ mendapat kerjasam daripada Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penaja-penaja seperti Bank Islam, Yayasan Taqwa, Yapeim Takaful Ikhlas, 1M4U dan Bank Rakyat.

“Penganjuran program JMU dan Karnival Muamalah 2016 dilihat amat signifikan dalam meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran umat Islam khususnya golongan muda terhadap kepentingan muamalah Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan ekonomi mereka,’’ katanya.

Beliau berkata, program ini dapat membudaya pemikiran dan pemahaman masyarakat Islam terhadap kewajipan bermuamalah dengan sistem kewangan Islam yang betul berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta menjawab persoalan permasalahan ummah di kalangan masyarakat awam.

“Program ini dapat menyemarakkan budaya celik muamalah dalam kalangan umat Islam serta Memberi kefahaman secara menyeluruh kepada umat Islam berkenaan dengan sistem kewangan Islam antaranya meliputi perbankan Islam, takaful, pelaburan, pengurusan hutang, keusahawanan dan lain-lain berkaitan,’’ jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, melalui program ini dapat membantu mempromosikan produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam, syarikat takaful dan para usahawan Islam serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli dan pimpinan Sahabat Yadim serta Sukarelawan Al-Falah di institusi pendidikan yang dilawati.

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *