Home » Langit Terbuka » Yadim bantah kajian gender ketiga Suhakam

Yadim bantah kajian gender ketiga Suhakam

Yadim menyeru agar Suhakam lebih prihatin dengan suasana semasa dan berpendapat lebih banyak isu lain yang boleh diketengahkan pada ketika ini untuk diperjuangkan suruhanjaya berkenaan. - Foto Change .org

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah sekeras-kerasnya usaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjalankan kajian untuk pengiktirafan gender ketiga di negara ini.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, kajian tersebut jelas mendorong ke arah kehidupan yang menyalahi syariat Islam dan bertentangan dengan norma budaya hidup rakyat di negara ini.

Beliau berkata, pastinya usaha sedemikian membuka ruang dan peluang kepada lebih banyak perbuatan mungkar seperti Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender (LGBT) di negara ini yang membawa kerosakan serta keruntuhan institusi keluarga.

“Cara hidup yang bertentangan dengan fitrah asal kejadian manusia ini adalah sangat bertentangan dengan pegangan semua agama yang dianuti oleh rakyat di negara ini.

“Justeru, sebarang bentuk usaha mengiktirafnya hanya menatijahkan kepada runtuhnya kerukunan sistem sosial di Malaysia selain menambah kepada kebobrokan nilai dan akhlak,” katanya dalam kenyataan pada 16 Jun.

Dalam hantaran Facebook Suhakam kelmarin menyebut bahawa suruhanjaya itu  sedang mencari penyelidik untuk melakukan kajian bertajuk “Feasibility Of Having Legislation On The Recognition Of A Third Gender In Malaysia”.

Nasruddin berkata, dalam hal itu, Yadim menyeru agar Suhakam lebih prihatin dengan suasana semasa dan berpendapat lebih banyak isu lain yang boleh diketengahkan pada ketika ini untuk diperjuangkan suruhanjaya berkenaan.

Katanya, walaupun Suruhanjaya itu adalah sebuah badan bebas, namun sebagai entiti yang diwujudkan dan didanai kerajaan, Suhakam sewajarnya sensitif terhadap pendirian Kerajaan Malaysia yang jelas tidak menyokong budaya hidup songsang itu sepertimana yang dizahirkan dalam kenyataan bersama-sama 57 buah negara lain dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2008 lagi.

“Adalah lebih baik Suhakam turut sama dalam usaha membantu negara yang kini sedang bergelut menangani Covid-19 serta menyediakan pelan pemulihan pasca pandemik berbanding menjalankan kajian yang langsung tidak berfaedah kepada negara.

“Suhakam juga perlu menyedari bahawa usaha ini mempunyai implikasi kepada perundangan Islam di negara ini yang terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata,  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 juga memutuskan bahawa seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki manakala seseorang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun (lelaki atau perempuan itu) menukar jantinanya melalui pembedahan.

Keputusan Muzakarah juga menyebut, pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak.

Yadim komited untuk terus gigih memperjuangkan dan menyampaikan dakwah serta penerangan tentang betapa pentingnya institusi keluarga menurut acuan Islam di negara ini terus dipertahankan dan menentang sebarang anasir yang cuba untuk meruntuhkannya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *