Home » Citra Yadim » Yadim cari 25 bakat baharu sertai Felo Muda Dakwah

Yadim cari 25 bakat baharu sertai Felo Muda Dakwah

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mencari 25 bakat baharu untuk menyertai latihan kepimpinan muda Islam menerusi program Felo Muda Dakwah (FMD) yang akan berlangsung pada Mac 2019.

Pengurus Besar Pengurusan dan Kewangan Yadim, Redhauddin Kamaruzaman, berkata FMD merupakan program kaderisasi dan pembangunan belia Islam, bertujuan memberi pendedahan serta latihan sebelum melangkah ke alam kerjaya sebenar.

Beliau berkata program yang memasuki edisi kesembilan itu terbuka kepada golongan belia berusia lingkungan 23 hingga 30 tahun, dan mereka yang terpilih akan diberi latihan yang memfokus kepada tiga kluster utama iaitu media massa, pembinaan jati diri dan karakter.

“Dalam konteks Malaysia baharu, latihan kali ini agak berbeza berbanding sebelum ini dengan penekanan dakwah kontemporari menerusi media massa.

“Para peserta akan dilatih untuk mengambil bahagian dan memainkan peranan media massa dalam konteks Islam, termasuk menentukan berita benar atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama di sini.

Mengulas lanjut, Redhauddin berkata tempoh latihan ialah selama empat bulan, termasuk latihan dalaman dan lapangan di agensi media terpilih.

“Selain itu, program ini juga akan menyediakan latihan intensif dalam pelbagai aspek kepimpinan, antaranya keilmuan, penulisan serta berhujah secara kritis dan bernas.

“Para peserta akan turut diberi elaun sebanyak RM2,500 sebulan sepanjang latihan berlangsung,” katanya.

Beliau berkata mereka yang berminat menyertai program FMD, boleh menghantar resume ke e-mel di alamat berikut fmd@yadim.com.my sebelum 30 November 2018.

“Sehingga kini, sebanyak lapan kumpulan FMD berjaya dilahirkan dengan 214 peserta yang terdiri daripada 126 lelaki dan 88 perempuan,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *