Yadim salur peruntukan segera RM500,000 untuk mangsa banjir

0
706
Majlis Pelancaran Sukarelawan Yadim Selebriti, Penyampaian Musa'adah Yadim dan Program Kembali ke Sekolah Sempena Bulan Dakwah 2.0 di Melaka pada 23 Disember.- Foto YADIM

MELAKA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah menyalurkan peruntukan segera berjumlah RM500,000 dalam pelbagai bentuk bagi membantu meringankan beban mangsa banjir, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan termasuk wang tunai berjumlah RM20,000 kepada negeri yang terjejas banjir, barangan keperluan dan pembukaan Dapur Rakyat di kawasan terjejas banjir.

“Kami menyasarkan sebanyak 10 Dapur Rakyat akan dibuka di negeri terjejas banjir dan setakat ini sebanyak empat ‘Dapur Rakyat’ telah dibuka antaranya di Hulu Langat, Selangor dan Kampung Pandan di Kuala Lumpur.

- advertisement -

“Menerusi pengoperasian Dapur Rakyat, makanan berbungkus akan disediakan untuk mangsa serta petugas banjir dan kami juga menyalurkan barangan keperluan seperti tilam, selimut dan bantal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Yadim Selebriti, Penyampaian Musa’adah Yadim dan Program Kembali ke Sekolah Sempena Bulan Dakwah 2.0 di sini pada 23 Disember.

Majlis berkenaan dilancarkan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin dan turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.

Pada majlis yang diadakan dengan kerjasama MPHTJ itu, Yadim turut menyampaikan bantuan kepada 100 penerima antaranya pemandu teksi, e-hailing dan murid sekolah di Melaka melibatkan lebih RM50,000.

Tuan Kamarul Arief berkata selain itu, kira-kira 10,000 sukarelawan Yadim di seluruh negara akan digerakkan secara berperingkat bagi membantu mangsa banjir yang terjejas termasuk membersihkan rumah mangsa terjejas.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 500 sukarelawan dari Johor dan Pahang telah turun ke negeri terjejas dan sukarelawan terlibat mempunyai jadual mereka bagi melancarkan khidmat bantuan yang disalurkan.

“Kami pun mempunyai pusat latihan di Hulu Langat dan alhamdulillah pusat tersebut tidak dilanda banjir…ia akan digunakan sebagai hab bagi mengatur dan merangka khidmat bantuan yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, Sukarelawan Yadim Selebriti merupakan satu daripada program yang julung kali dilancarkan sempena Bulan Dakwah 2.0 untuk menarik lebih ramai golongan selebriti menjadi sukarelawan Yadim.

Katanya golongan selebriti mempunyai pengaruh mereka tersendiri dan menerusi penglibatan mereka sebagai sukarelawan akan menarik lebih banyak masyarakat untuk turut menjadi sukarelawan Yadim dan seterusnya terlibat dalam aktiviti bantuan dan kemasyarakatan.

“Kami melihat pelancaran sukarelawan Yadim adalah relevan dalam situasi Malaysia sekarang ini terutama dalam menghadapi bencana banjir, bencana alam dan sebagainya…jadi kami perlukan tenaga sukarelawan yang cukup ramai.

“Justeru kami mengalu-alukan lebih ramai golongan selebriti di seluruh negara untuk menjadi sukarelawan Yadim yang akan terlibat dalam pelbagai ativiti turun padang dan kemasyarakatan yang dilakukan,” katanya. – Awani