Home » Citra Yadim » Yadim Sarawak santuni golongan saudara kita

Yadim Sarawak santuni golongan saudara kita

KUCHING 21 Jun – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sarawak meneruskan komitmen bagi menyantuni golongan saudara kita di negeri ini dengan mengadakan pelbagai program untuk mereka sepanjang bulan Ramadan ini.

Program untuk saudara kita ini telah dimulakan pada 13 Jun di Long Lapok Miri, Lambir, Miri pada 14 Jun, Kampung Yoh Labang, Bintulu pada 15 Jun dan Kampung Penan Muslim, Bintulu pada 16 Jun.

Pengurus Yadim Zon Sarawak, Awang Dol Hadi Awang Mat berkata, program ini bertujuan meraikan golongan saudara kita sepanjang Ramadan yang sekaligus memberikan motivasi kepada mereka untuk menjalani ibadah berkenaan.

“Ada yang pertama kali berpuasa dan dengan adanya program ziarah ini, sekurang-kurangnya memberikan mereka merasai erti sebenar berpuasa yang bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga sarat dengan pelbagai pengajaran.

“Antara aktiviti yang diadakan sepanjang ziarah ke perkampungan saudara baru ini termasuklah pengagihan bubur lambuk, berbuka puasa, ceramah Ramadan, solat terawih dan moreh,’’ katanya.

Beliau berkata, pada 18 Jun, program Ziarah Saudara Kita sempena Ramadan 1437H telah diadakan di Kampung Sekuau Sibu, Sarawak dengan pelbagai aktiviti diadakan bermula dengan gotong-royong memasak bubur lambuk yang diketuai oleh Daie Yadim Ustaz Tahpis.

Katanya, program ini kemudiannya disusuli  dengan iftar jamaie, sesi penyerahan bubur lambuk kepada saudara kita, solat fardu dan solat sunat tarawih serta pengisian ceramah Ramadan oleh pegawai Yadim Zon Sarawak.

“Manakala pada 19 Jun telah diadakan program Ziarah Saudara Kira bertempat di  Junaco Park, Batu 16 Sibu Sarawak.

“Program ini turut diisi dengan pengagihan bubur lambuk kepada masyarakat kampung di rumah panjang berhampiran disusuli dengan majlis berbuka puasa, tazkirah oleh Daie Yadim, saudara Hazrul Shah dan solat sunat terawih,’’ katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *