Home » Langit Terbuka » Yadim sedia bantu individu keliru mengenai Islam

Yadim sedia bantu individu keliru mengenai Islam

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersedia membantu individu yang berhadapan kekeliruan serta mempunyai kemusykilan mengenai ajaran Islam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, langkah itu juga sebahagian daripada kerja dakwah.

“Individu yang berhadapan kekeliruan ini perlu dibantu dan diberikan penjelasan kerana mereka akan berhadapan kesusahan sekiranya menyalurkan perkara itu ke saluran yang tidak betul,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Mahkamah Sesyen Sepang semalam menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadap seorang penghantar makanan selepas lelaki itu mengaku salah atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi menghina agama Islam di You Tube, Sabtu lalu.

Mohd Nor’ Muzil Mohd Razalli, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.

Namun, dia gagal membayar denda dan menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Kajang.

Tuan Kamarul berkata, individu terbabit bukan hanya sekadar menyalahgunakan rangkaian teknologi maklumat malah mencetuskan kemarahan dan kebencian dalam kalangan masyarakat.

“Ia adalah satu kesalahan yang serius serta berpotensi mencetuskan implikasi yang buruk dalam negara, justeru jangan sesekali mencabar dan melanggar undang-undang di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, Yadim berharap pesalah ini turut dibimbing dari segi kesihatan mental kerana pihaknya yakin akal yang waras tidak akan mudah untuk menghina agama.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *