Home » Citra Yadim » ‘Train To Dabong’ Lestari Gerakan Dakwah

‘Train To Dabong’ Lestari Gerakan Dakwah

GEMAS – Gerakan dakwah masakini memerlukan pendekatan kreatif dan luar kotak bagi memastikan mesejnya diterima dan sampai kepada masyarakat.

Turun kepada masyarakat dan letakkan diri pendakwah pada kedudukan mereka bagi merasai sendiri apakah keperluan dakwah seterusnya, santuni ruang berkenaan.

Cakna dengan keadaan itu, YADIM Melaka menganjurkan program YADIM Lestari ‘Train To Dabong’ bersama Rakan Siswa YADIM (RSY) dan Sukarelawan YADIM (SAY) Kolej Profesional MARA Bandar Melaka (KPMBM) pada 21 hingga 24 Julai ini.

Menerusi perjalanan menggunakan gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad dari stesen di sini hingga ke Dabong, Kelantan, mereka mengadakan pelbagai aktiviti dakwah dalam tren seperti Street Dakwah kepada penumpang, kempen I Love Muhammad SAW, Outreach Masuk IPT dan sebagainya.

Dalam perjalanan yang memakan masa hampir 10 jam melalui 17 stesen hentian, YADIM Melaka turut singgah di Stesen Gua Musang untuk aktiviti Street Dakwah di sana.

Aktiviti-aktiviti lain yang turut dilaksanakan sepanjang 3 hari 2 malam program adalah sumbangan Wakaf Al Quran, gotong-royong Kenduri Rakyat, pameran, Tabung Infaq YADIM dan sumbangan Musaadah kepada asnaf.

Seramai 80 peserta terdiri daripada kalangan ahli RSY, SAY KPMBM dan kakitangan kolej berkenaan, rakan kerjasama dan lain lain lagi terlibat dalam program unik ini.

Turut serta dalam program ini ialah Pengarah KPMBM, Puan Zarina Ahmad,Yang Dipertua Muafakat Cawangan KPMBM, Tuan Haji Khairul Haniza Dato Ibrahim dan Ketua Penasihat Unit Hal Ehwal Agama dan Dakwah (UHUD) KPMBM, Ustaz Abdullah Long.

Tidak ketinggalan ialah Eksekutif Kanan Farhan Adam Food Industries, Encik Akmal Izzad, guru pengiring Sekolah Menengah Agama JAIM Al-Ahmadi, Muhammad Faiez Ghazali dan wakil Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka merangkap Pengerusi SAY Merlimau, Ustaz Mohd Fauzee Mohamed.

Penyelaras YADIM Melaka, Mohd Nor Zahidi Mohd Ghazaly dan Pegawai Bahagian Penerbitan, Muzafar Abd Rahim turut serta.

Program ini mendapat sambutan yang sangat baik, malah para peserta sendiri teruja untuk terlibat lagi pada masa akan datang.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *