Home » Citra Yadim » Yadim semarak Ramadhan

Yadim semarak Ramadhan

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Sebagai usaha untuk menyatakan kehadiran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di kalangan masyarakat, Yadim mengambil pendekatan turun padang sepanjang Ramadhan ini dengan mengadakan 2 program besar iaitu Kembara 360 Agensi dan Iktikaf Ramadhan Sahabat Yadim.

Yang Dipertua Yadim, Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Yadim dan Pelancaran Ihya Ramadhan di Dewan Syarahan, Masjid Negara pagi ini.

Kembara 360 Agensi ini merupakan program untuk menggerakkan para pegawai Yadim seramai lebih kurang 40 orang yang akan menyampaikan tazkirah di 360 organisasi dan agensi kerajaan serta swasta di seluruh negara yang telah dipilih sepanjang Ramadhan. Tazkirah Ramadhan ini akan mengikut modul yang telah disediakan melalui Bengkel TOT yang telah diadakan baru-baru ini.

Manakala program Iktikaf Ramadhan Sahabat Yadim merupakan program yang bermula dari waktu solat Zohor ke Zohor keesokan harinya yang melibatkan 14 buah negeri. Setiap negeri akan melibatkan satu masjid yang akan diimarahkan dengan iftar jama’i, qiamulail, tarawih dan sebagainya. Penglibatan Sahabat Yadim yang terdiri dari kalangan warga IPT ini dengan masyarakat setempat merupakan pendekatan baru Yadim untuk mengukuhkan aspek tarbiyah dalam diri golongan muda.

Selain itu, program menghidupkan bulan yang penuh rahmat ini diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya dengan mengadakan Tadarus Al-Quran di kalangan warga Yadim di peringkat bahagian dan zon, Tazkirah Ramadhan, Tahsinul Quran, Risalah Ramadhan melalui emel dan Majlis Khatam Al-Quran di peringkat warga Yadim.

Dalam majlis tersebut, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut melancarkan Tabung Infaq Ramadhan bagi menyuburkan amalan bersedekah di bulan Ramadhan yang menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda.

Majlis juga meraikan pegawai-pegawai Yadim yang telah menamatkan perkhidmatan. Mereka adalah Puan Zainab Jaafar yang merupakan antara staf yang paling lama berkhidmat di Yadim iaitu sejak tahun 1984 dan En. Sufyan Misdar yang telah berkhidmat selama 15 tahun.

Hadir sama adalah Dr Yusri Mohamad, Timbalan Yang Dipertua dan En. Mohd Rizal Mohd Rosli, Pengurus Besar Pengurusan Yadim.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *