Home » Persuasif » Dua waktu istimewa di bulan Ramadhan

Dua waktu istimewa di bulan Ramadhan

sumber

Menghampiri Ramadhan pasti di kalangan kita sudah membuat beberapa persiapan seperti memasang niat mahu memperbanyakkan solat sunat sebelum bersahur, mengkhatamkan bacaan al-Quran dan tidak kurang juga persiapan fizikal seperti senarai menu untuk berbuka dan bersahur dan sebagainya. Bagi kaum wanita pula, kewajipan mereka pada waktu ini adalah menyelesaikan hutang puasa pada tahun lepas.

Ramadhan adalah bulan yang mulia. Bulan keampunan dan bulan rahmat. Setiap daripada kita pasti dapat merasai nikmat dan keindahan sepanjang Ramadhan al-Mubarak selagi kita menunaikannya kerana kepatuhan kita sebagai hamba Allah bukan disebabkan oleh orang lain atau niat lain.

Ia berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut : “Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka firman Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untuk-Ku dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya kerana-Ku” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).

Banyak aspek yang boleh dibincangkan mengenai Ramadhan. Contohnya, adab-adab di bulan Ramadhan dan kelebihan Ramadhan berbanding bulan-bulan Islam yang lain. Namun, ada dua waktu istimewa di bulan puasa yang kurang diperhatikan.

Kebanyakan daripada kita cenderung melakukan perkara-perkara yang kurang bermanfaat pada waktu tersebut. Kita lalai untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT sedangkan dua waktu tersebut merupakan antara waktu mustajab untuk berdoa.

Waktu pertama yang dimaksudkan adalah menjelang waktu berbuka puasa. Di Malaysia, kebanyakan televisyen memaparkan iklan produk makanan dan pakaian sebelum tibanya waktu berbuka puasa. Rancangan televisyen pula masih menyiarkan rancangan yang tidak menepati amalan yang sepatutnya diperbanyakkan di bulan Ramadhan seperti memperbanyakkan istighfar dan membaca al-Quran.

Waktu tersebut adalah waktu yang sangat berharga. Tidak sepatutnya orang yang berpuasa, yang mahu mengejar pahala yang berganda-ganda ditawarkan oleh Allah SWT, mensia-siakannya. Disebutkan dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi.” ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

Tiga orang yang disebutkan dalam hadis tersebut diistimewakan dengan doa mereka segera dimakbulkan. Ini disebabkan oleh keikhlasan mereka ketika memanjatkan doa kepada Allah SWT.

Kedua adalah waktu sahur. Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Dan pada akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” (Al-Zaariyat: 18).

Imam Mujahid dan lainnya mengatakan, “(di akhir-akhir malam) mereka mengerjakan solat.” Ulama lainnya mengatakan, “Mereka solat malam dan menutupnya dengan istighfar sehingga menjelang fajar.” Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan yang memohon ampun di waktu sahur.” (Ali Imran: 17)

Waktu sepertiga malam bermula lebih kurang dari pukul 3 pagi hingga menjelang Subuh. Justeru, waktu sahur termasuk dalam tempoh tersebut. Jadi, sebaiknya kita memperbanyakkan doa dan istighfar di waktu yang berharga ini sehingga berkumandangnya azan Subuh.

Ramadhan datang setiap tahun cuma kita sendiri tidak pasti adakah kita akan bertemu Ramadhan yang seterusnya? Elok juga untuk Ramadhan pada tahun ini, kita pasang niat untuk memperbaiki amalan di bulan Ramadhan berbanding Ramadhan yang lalu. Setiap daripada kita pasti ada permohonan yang mahu kita munajatkan kepada Allah. Jadi, manfaatkanlah masa itu supaya kita tidak menjadi orang yang rugi.

Semoga Ramadhan kali ini lebih manis dan membahagiakan dengan pengisian bermanfaat.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *