Home » Langit Terbuka » Yangon lulus RM58 juta

Yangon lulus RM58 juta

Tentera Myanmar berkawal di sepanjang kawasan sempadan. Foto : rfa.org

PENGGUBAL undang-undang Myanmar telah meluluskan belanjawan ketenteraan hampir AS$15 juta (RM58 juta) untuk membina pagar di sepanjang sempadan yang memisahkan Bangladesh dan negeri Rakhine.

Kawasan itu sering dijadikan laluan bagi etnik Rohingya melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar ke Cox’s Bazar di Bangladesh.

Ahli Kongres, Myo Zaw Aung berkata rang undang-undang itu diperkenalkan kelmarin kepada Parlimen oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Sempadan.

Difahamkan, pembinaan pagar sepanjang 293 kilometer itu sebahagian besarnya telah pun siap.

Sumber turut mendedahkan bahawa pihak tentera menerima AS$5 juta (RM19 juta) pada Oktober tahun lalu, hasil sumbangan organisasi Buddha bagi membiayai pembinaan pagar berkenaan.

Bagaimanapun, projek tersebut menimbulkan kebimbangan antarabangsa bahawa penduduk Islam Rohingya tidak lagi dapat mencari perlindungan di negeri jiran dan kemungkinan berdepan lebih banyak penganiayaan serta kematian di tangan tentera Myanmar.

Etnik minoriti Rohingya sering menghadapi prejudis meluas kerana mereka dianggap pendatang tanpa izin dari Bangladesh walaupun telah lama menetap di Rakhine sejak berkurun lalu.

Kawasan utara Rakhine hampir kosong daripada penduduk Rohingya sejak Ogos tahun lalu, selepas operasi tentera menyebabkan hampir 700,000 etnik ditindas itu melarikan diri merentasi sempadan ke Bangladesh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Myanmar melancarkan kempen pembersihan etnik terhadap minoriti Muslim itu yang berdepan penindasan di negara majoriti Buddha terbabit, lapor Press TV. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *