Home » Langit Terbuka » Yapeim mula laksana proses pemulihan sejak enam bulan lalu

Yapeim mula laksana proses pemulihan sejak enam bulan lalu

Yapeim telah mengambil pendekatan yang rapi, tersusun, profesionalisme untuk mengurangkan kos pentadbiran, menutup ketirisan, menstruktur semula institusi milik penuh dan institusi di bawah kawalannya, ujar Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya. - Foto FMT

SHAH ALAM – Proses pemulihan dan penjajaran semula Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mula dilaksanakan sejak enam bulan lalu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yapeim, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, proses itu bermula sejak LPA yang baharu itu dilantik oleh kerajaan.

“Pihak LPA Yapeim telah mengambil pendekatan yang rapi, tersusun, profesionalisme untuk mengurangkan kos pentadbiran, menutup ketirisan, menstruktur semula institusi milik penuh dan institusi di bawah kawalan Yapeim.

“Yapeim membentuk semula jawatankuasa khusus dan melantik firma audit, PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk mendapatkan pandangan pihak ketiga ke atas prosedur kewangan dan perolehan Yapeim,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini (22 Mei).

Mohd Daud berkata, LPA Yapeim kini percaya bahawa institusi tersebut kini berada pada landasan yang baik untuk membangunkan semula reputasinya serta memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam di negara ini.

Semalam, Yapeim mengumumkan penggantungan tugas Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin.

Tindakan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh berkenaan dakwaan salahlaku dapat dijalankan.

Sehubungan itu, Mohd Daud berkata, LPA Yapeim akan mengadakan pertemuan tertutup dengan semua kakitangannya bagi menjelaskan tentang isu penggantungan tersebut.

“Kita juga akan berkongsi tentang hala tuju pentadbiran Yapeim dan kaedah pemantauan yang lebih mampan daripada pihak LPA khususnya bagi mengambil tindakan yang bersesuaian selaras laporan audit PwC yang telah siap pada penghujung April 2019 dan telah dimuktamadkan pada 2 Mei 2019,” ujar beliau.

Selain itu, LPA Yapeim juga akan mendengar secara langsung daripada semua kakitangan mereka mengenai isu-isu sumber manusia terutama Skim Perkhidmatan Yapeim, imbuhan dan ganjaran serta pematuhan kepada tadbir urus yang baik dan profesionalisme. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *