Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, biasiswa berkenaan ditawarkan kepada pelajar terpilih melalui Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

“Biasiswa itu membolehkan pelajar Palestin melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsasah di 12 universiti di Malaysia.

“Kepada pelajar Palestin yang dipilih, saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya,” katanya ketika berucap dalam majlis berbuka puasa bersama komuniti Palestin di Malaysia anjuran PCOM di sini hari ini (22 Mei).

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Pengerusi Hamas, Khalid Mashal serta Pengerusi PCOM, Muslim Imran.

Tajaan biasiswa bernilai RM11.4 juta itu melibatkan AlBukhary International University, Management and Science University (MSU), Universiti Mahsa, Kolej Universiti Islam Perlis dan City University.

Selain itu, ia turut melibatkan Universiti Multimedia (MMU), Universiti UCSI, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Sunway, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut Dr. Mahathir, beliau juga gembira dengan peranan dimainkan PCOM yang komited dalam menyokong pembebasan Palestin termasuk membina persefahaman budaya antara Malaysia dan Palestin.

“Hari ini, PCOM memainkan peranan penting dalam membina persefahaman budaya antara Palestin dan Malaysia, meningkatkan kesedaran tentang isu Palestin dan menggerakkan politik sokongan terhadap hak Palestin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, Malaysia berdiri teguh bagi menyatakan sokongan kepada Palestin dan terus mengutuk tindakan zalim Israel terhadap rakyat Palestin.

Katanya, Israel berterusan melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang mana penempatan haram Israel dibina setiap hari dan rakyat Palestin dinafikan hak mereka daripada memasuki tanah mereka sendiri.

“Bagi mencapai kedamaian, masyarakat antarabangsa perlu mencari penyelesaian bagi penempatan semula rakyat Palestin di tanah mereka yang dirampas secara tidak sah oleh Israel.

“Ini sekali gus mampu menamatkan tindakan pembunuhan besar-besaran tentera Israel dan pendudukan Israel di tanah Palestin,” katanya. – Utusan Malaysia