Home » Langit Terbuka » Yapeim perkenal inisiatif baharu, Dana Inspirasiku

Yapeim perkenal inisiatif baharu, Dana Inspirasiku

Sejumlah RM40 juta nilai kutipan disasar melalui Dana Inspirasiku dan akan memberikan manfaat kepada hampir 40,000 pelajar di seluruh negara dengan Yapeim sendiri memperuntukan dana awal sebanyak RM1 juta, kata Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yapeim- Foto Malaysiakini

KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mengambil inisiatif baharu dengan memperkenalkan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku).

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata, Dana Inspirasiku akan memberi manfaat kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah yang memerlukan dalam kalangan keluarga B40.

Kata beliau, skim terkini yang diperkenalkan Yapeim itu khusus melalui Program Pembangunan Sosiekonomi dan Amal Jariah dalam aspek kebajikan.

“Sejumlah RM40 juta nilai kutipan disasar melalui Dana Inspirasiku dan akan memberikan manfaat kepada hampir 40,000 pelajar di seluruh negara dengan Yapeim sendiri memperuntukan dana awal sebanyak RM1 juta.

“Pengenalan dana ini adalah dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan dan beberapa syarikat korporat serta pihak berpotensi bekerjasama dengan fokusnya kepada anak-anak B40 untuk sesi persekolahan mahupun pendaftaran pengajian,” katanya pada pra pelancaran Dana Inspirasi Malaysia di ibu pejabat Yapeim di sini.

Beliau menjelaskan, Yapeim berjaya memperkenalkan inisiatif baharu untuk membantu golongan sasar serba memerlukan dengan kerjasama pelbagai ekosistem.

“Inisiatif yang diambil menerusi Dana Inspirasiku adalah selaras gagasan Rahmah yang diperkenalkan kerajaan dengan penekanan terhadap aspek menyantuni masyarakat serta memberi kesejahteraan hidup selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) yang disasarkan United Nations (UN) dalam memperkasa masyarakat negara ini melalui pendidikan saksama dan mapan.

Sementara itu, kata beliau, antara syarat ditetapkan bagi kelayakan memohon Dana Inspirasiku ialah permohonan mesti atas nama ibu bapa atau penjaga.

Kata beliau, pemohon mestilah warganegara Malaysia dan mendapat surat tawaran pengajian dari sekolah atau IPT dalam atau luar negara dan pendapatan isi rumah tidak melebihi nilai pendapatan garis kemiskinan bagi kategori B40.

Peringkat pengajian yang boleh memohon dana adalah pelajar sekolah layak menerima bantuan berjumlah RM500 seorang, manakala pengajian di IPT pula sebanyak RM1,000 disediakan.

Sementara itu, setiap sumbangan dan tajaan yang diberi akan dimasukkan ke Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yapeim layak mendapat pelepasan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman sesawang di alamat: diny.yapeim.my:81/donate.php. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *