Home » Langit Terbuka » Yapeim salur sumbangan RM507j

Yapeim salur sumbangan RM507j

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM507 juta kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan sejak badan itu ditubuhkan pada tahun 1985.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin berkata, jumlah itu bersama dana yang di­peroleh daripada sumbangan orang ramai berjumlah RM394 juta, dijana melalui empat akti­viti perniagaan utama yayasan berkenaan.

Beliau menjelaskan, setiap dana yang di­terima hasil sumbangan orang ramai akan disalurkan dengan penuh tanggungjawab melalui program amal jariah dan dijalankan mengikut peraturan yang sah supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan.

“Kita mempunyai audit da­laman sendiri, selain dipantau oleh Jabatan Audit Negara supaya duit ini benar-benar di­salurkan mengikut peraturan dan saluran yang sah dan hari ini kita mengambil pendekatan untuk melaksanakan program berimpak besar kepada masyarakat.

“Tanggapan negatif masya­rakat terhadap Yapeim benar-benar memberi kesan apabila 35,000 penyumbang telah menarik diri sehingga menjejaskan dana sebanyak RM1 juta. Mereka yang melemparkan persepsi buruk itu akibat iri hati kepada pencapaian kami sedangkan sumbangan yayasan ini begitu besar untuk pembangunan ekonomi ummah,” katanya ketika mengadakan kunjungan ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pe­ngarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad dan Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman.

Abibullah berkata, empat perniagaan utama yang dijalankan Yapeim ialah kedai pajak gadai Islam, Ar Rahnu; pasar raya Yapeim’s Mart; perniagaan emas, Yapeim Gold dan perhotelan.

Katanya, sehingga Ogos lalu, Program Mikro Kredit Ar Rahnu Yapeim telah memberi manfaat kepada 5.45 juta golongan sasar dengan jumlah pembiayaan terkumpul berjumlah RM 15.5 bilion bagi pelbagai tujuan se­perti pembiayaan perniagaan, pendidikan, pelancongan dan sebagainya.

Beliau berkata, mereka yang membuat gadaian melalui Ar Rahnu akan bernaung di bawah Kelab Maya Sahabat Ar-Rahnu yang kini berjumlah 125,000 ahli yang diklasifikasikan mengikut 14 kluster perniagaan untuk diberi bimbingan latihan keusahawanan.

“Produk-produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) ini akan dipasarkan di empat buah Yapeim’s Mart yang baharu ditubuhkan tahun lalu iaitu di Hutan Melintang, Perak; Permatang Sintok, Kepala Batas; Sungai Lalang, Sungai Petani dan Guar Chempedak, Kedah selain mempunyai sebuah Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Yapeim,” katanya.

Dalam pada itu, Abibullah berkata, program amal jariah Yapeim pada tahun ini telah melaksanakan Program Inspirasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melibatkan 43,500 pelajar di 26 daerah seluruh negara untuk memberi bimbingan motivasi kepada pelajar-pelajar dari sekolah yang mendapat pencapaian sederhana.

“Yapeim juga akan mengadakan Program Inspirasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan depan melibatkan 3,900 pelajar di seluruh negara untuk membantu dan memberi pendedahan teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan dengan baik,” katanya.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *