YOUTH Talk @YADIM kembali lagi, kali ini melibatkan penyertaan daripada 21 Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara serta Kolej Komuniti Selayang.
Bertemakan ‘Hormat Asas Perpaduan Malaysia MADANI’, siri ceramah ini berlangsung selama empat hari bermula 5 hingga 8 Ogos dan menyasarkan antara 100 hingga 200 pelajar baharu di setiap institusi yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
Program anjuran Unit Belia, Bahagian Kepimpinan Muda, YADIM ini merupakan kerjasama tahunan bersama Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dijalankan setiap kali kemasukan pelajar baharu ke ILKBS pada bulan Februari dan Ogos.
Antara penceramah yang dijemput untuk menyampaikan ceramah dan berinteraksi bersama para pelajar termasuklah Pengarah YADIM Negeri, Penolong Pengarah YADIM (negeri dan ibu pejabat), DaieMuda YADIM (DMY), Daiw YADIM Sarawak serta wakil Duat Al-Falah.
Program ini bukan sahaja bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar berkenaan peranan mereka sebagai belia Malaysia yang beretika dan bertanggungjawab, tetapi turut menekankan nilai hormat-menghormati sebagai asas utama untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu dan harmoni sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.



KOMEN