Home » Langit Terbuka » Zakat kini boleh dibayar melalui Mercy Malaysia

Zakat kini boleh dibayar melalui Mercy Malaysia

Pelantikan Mercy Malaysia membolehkannya mengutip zakat daripada orang ramai dan badan korporat sebagai antara kaedah mengumpul dana bagi membiayai misi kemanusiaan di seluruh dunia. - Foto Mercy Malaysia

KUALA LUMPUR – Lembaga Zakat Majlis Agama Islam Negeri Perlis dan Lembaga Zakat Negeri Kedah melantik Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) sebagai ejen korporat untuk mengutip zakat bagi kedua-dua lembaga itu mulai tahun ini.

Mercy Malaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan misi kemanusiaan di 32 negara.

Pelantikan itu membolehkan Mercy Malaysia mengutip zakat daripada orang ramai dan badan korporat sebagai antara kaedah agensi kemanusiaan itu mengumpul dana bagi membiayai misi kemanusiaan di seluruh dunia.

Setiausaha Kehormat, Razi Pahlavi Abdul Aziz, berkata sejak 2017, Mercy Malaysia memulakan usaha mencari dana dengan menerima wang zakat daripada pelbagai pihak sebagai sumber utama bagi menjalankan aktiviti kemanusiaan.

“Bagi melayakkan Mercy Malaysia dikategorikan sebagai salah satu golongan yang layak menerima zakat, kami turut mengadakan perbincangan dengan pusat zakat dan Majlis Agama Islam Negeri dengan menekankan isu kemanusiaan serta bantuan perubatan yang disalurkan.

“Mercy Malaysia turut mengetengahkan kaedah menjana dana mengikut syarak bagi membiayai aktiviti kemanusiaan melalui Pembiayaan Sosial Islamik (ISF),” katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Razi Pahlavi berkata, ISF yang dilancarkan tahun lalu mengetengahkan beberapa kaedah untuk membolehkan Mercy Malaysia menerima dana patuh syariah melalui kaedah zakat, wakaf, duit pensucian, derma, sukuk dan kewangan mikro.

“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga melihat metodologi ini (ISF) sebagai satu alternatif yang sesuai dan efektif untuk menjana dana bagi membiayai program-program kemanusiaan,” katanya.

Ketua Kutipan ISF & Acara Amrul Hazarin Hamidon, pula berkata pada akhir tahun lalu, seramai 35 wakil PBB dan Agensi Majlis Kesukarelawan Antarabangsa (ICVA), iaitu sebuah rangkaian global NGO yang berpusat di Geneva, datang ke Malaysia untuk mempelajari kaedah pembiayaan Islamik sebagai sumber utama kutipan dana bagi tujuan kemanusiaan.

“Dalam perbincangan itu, mereka meminta kepakaran teknikal kita serta belajar dengan lebih mendalam berhubung ISF.

“Pada Mac lalu, dua wakil Mercy Malaysia turut dihantar ke Geneva bagi meneruskan perbincangan berkaitan ISF,” katanya.

Beliau berkata, ketika Sidang Kemuncak Kemanusiaan Sedunia di Istanbul pada 2016, pihak berkepentingan global melihat inisiatif ISF sebagai satu konsensus yang perlu diketengah hasil cetusan idea Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melalui ucaptama pada persidangan itu.

“Jumlah kutipan melalui inisiatif ISF berjumlah RM500,000 sejak dilancarkan tahun lalu, manakala Mercy Malaysia adalah penerima sumbangan dan fidyah Lembaga Zakat Selangor dan Baitulmal Wilayah Persekutuan bagi menyediakan bantuan perubatan kepada masyarakat pelarian,” katanya.

Beliau berkata Mercy Malaysia turut melantik Datuk Dr Mohd Daud Bakar, yang Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, sebagai panel syariahnya.

Mercy Malaysia juga telah membuka satu akaun bank khusus bagi menerima zakat. Untuk maklumat lanjut mengenai Zakat Mercy Malaysia, boleh e-melkan soalan ke zakat@mercy.org.my

Mercy Malaysia, yang ditubuhkan 20 tahun lalu, menjalankan misi kemanusiaan di negara bergolak akibat bencana, peperangan dan konflik dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk perubatan kecemasan, pemulihan, pembinaan semula, rehabilitasi dan lain-lain. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *