Home » Citra Yadim » Ziarah muhibah keamanan YADIM diteruskan ke gereja besar St Anne Pulau Pinang

Ziarah muhibah keamanan YADIM diteruskan ke gereja besar St Anne Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM – Usaha mempromosikan kesejahteraan rakyat oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) diteruskan pula ke Gereja Besar St Anne di sini.

Kunjungan pada 26 Ogos itu membawa misi merapatkan hubungan antara kaum di negara ini selain menjelaskan isu isu berkaitan Islamofobia.

Mengetuai delegasi YADIM ialah Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Nasrudin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tuan Kamarul Arief Tuan Soh untuk bertemu sendiri dan mengadakan perbincangan dengan Uskup Kristian Katholik, Dato Bishop Sebastian Francis.

Ustaz Nasrudin berkata, pihaknya sangat berbesar hati pihak gereja sudi bertemu dan mengadakan perbincangan bersama. Beliau menganggap pertemuan bersejarah ini sebagai peluang sangat bermakna untuk merapatkan hubungan antara kedua pihak ini.

“Masyarakat sekarang mahu jadikan perbezaan agama sebagai pertembungan, sedangkan persamaan itu yang boleh kita utamakan.

“Saya tak nafi ada perbezaan, tapi itu bukan alasan untuk bergaduh,” jelasnya.

Beliau turut menekankan tentang persaudaraan kemanusiaan serta kerukunan masyarakat majmuk.

Tuan Kamarul dalam ucapannya memberitahu, YADIM berharap pertemuan pertama ini akan merintis kepada lebih banyak usaha bersama antara kedua pihak kelak.

Pada masa yang sama, beliau mempelawa pihak gereja untuk bekerjasama dengan YADIM di Pulau Pinang.

Bishop Sebastian yang mengalu alukan kedatangan YADIM pula berkata, ini juga satu peluang baik pihaknya merangka usaha bersama bagi program antara agama.

“Saya beri contoh, pihak Kristian sebelum ini ada beri kenyataan menggesa isu Uyghur dan Rohingya diselesaikan dengan aman.

“Kami juga memilih untuk berdialog jika timbul pertembungan yang melibatkan banyak pihak,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk melakukan perhubungan dengan golongan muda di negara ini bagi memupuk semangat perpaduan.

Terdahulu pada 25 Ogos, YADIM mengadakan kunjungan muhibah ke Hindu Sangam Malaysia di Kuala Lumpur bagi tujuan yang sama.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *