Home » Citra Yadim » Ziarah rahmah ke perkampungan Orang Asli di Gerik.

Ziarah rahmah ke perkampungan Orang Asli di Gerik.

SUNGAI TEKAM – Sebagai salah satu usaha memasyarakatkan badan dakwah dengan komuniti Orang Asli, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 17 Ogos lalu telah menganjurkan ‘Program YADIM Peduli, Ziarah Rahmah’ kepada komuniti tersebut di sini.

Program selama dua hari itu, selain mendekatkan YADIM dengan komuniti berkenaan, turut berhasrat menyebarluaskan penghayatan rahmah dalam hubungan sesama manusia selain menyampaikan bantuan kepada masyarakat Orang Asli yang memerlukan di kawasan itu.

Tiga perkampungan Orang AsIi yang disantuni ialah Kampung Sungai Tekam, Kampung Pulau Tujuh dan Kampung Air Banun.

Ia diadakan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Gerik, Biro Kebajikan Masyarakat Lenggong dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak.

Delegasi YADIM diketuai oleh Timbalan Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, selain turut disertai oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Ummah dan Wanita, Ustaz Hafiz Musa, Penolong Pengarah YADIM Perak, Abdul Hafiz Mat Tuah serta pegawai dan kakitangan lain.

Turut serta dalam program itu Pengarah JAKOA Perak, Hairul Nizam Rahman, Pegawai Tadbir Agama Gerik, Ustaz Sufian Abdul Latif, dan Ahli Majlis Perbandaran Taiping,  merangkap Ketua Biro Hal Ehwal Orang Asli Perak, Mohd Osman Saad.

Selain menyampaikan sumbangan kepada 80 keluarga terpilih, rombongan juga beramah mesra serta menganjurkan beberapa program bagi menyantuni mereka.

Antara acara bersama yang dianjurkan termasuklah perlawanan bola sepak persahabatan, aktiviti menyumpit, nasyid dan persembahan malam kebudayaan.

Kunjungan YADIM dan rakan kerjasama disambut baik oleh komuniti Orang Asli di sini, apabila mereka melibatkan diri dengan semua program yang diatur. Pada sebelah malam pula, dipersembahkan tarian sewang sebagai menyambut dan mengalu alukan ketibaan tetamu.

Sementara itu, bagi tujuan membantu menjana ekonomi, turut diadakan ialah simbolik penanaman dan penyerahan pokok kopi Arabica kepada penduduk orang Asli di Kampung Sungai Tekam, agar komoditi ini dapat digunakan sebagai hasil jualan kelak.

Tanaman berkenaan adalah sumbangan dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *