Home » Analitis » Teks ucapan Yang Dipertua YADIM pada Multaqa Perpaduan Ummah 18 Mei 2016

Teks ucapan Yang Dipertua YADIM pada Multaqa Perpaduan Ummah 18 Mei 2016

Pertama-tama, saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada YABhg. Tun Abd. Hamid Mohamad, YBhg. Tan Seri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman bin Arshad, YBhg. Tan Sri Abu Zahar bin Dato’ Nika Ujang, YBhg. Dato’ Sri Syed Danial bin Syed Ahmad, Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, para Profesor, ahli akademik, pemimpin-pemimpin NGO Islam, pejuang dan pembela Islam dan para hadirin hadirat yang dihormati sekalian.  Sesungguhnya, kehadiran kita semua dalam forum ini merupakan manifestasi kesedaran dari hati kita yang bersih dan suci demi kepentingan persatuan dan perpaduan ummah sejagat. Ia sekaligus menunjukkan pendirian kita yang sentiasa berkomitmen dan bersungguh-sungguh menggalas misi perpaduan ummah di negara kita ini dapat direalisasikan. Kehadiran kita juga menunjukkan bahawa segala kekangan, pandangan sinikal dan cabaran yang menyertai misi mulia ini bukan menjadi penghalang kepada keazaman dan ikhtiar kita untuk dapat menyaksikan persatuan dan perpaduan umat Islam ternoktah.

Tuan-tuan dan Puan yang saya hormati

Dalam kesempatan ini, izinkan saya untuk menengok jauh ke belakang dalam perspektif sejarah kemunculan Islam pada peringkat pasca Rasulullah SAW wafat. Kepentingan melihat sejarah ialah bersifat retropeksi iaitu supaya kita dapat mengambil iktibar terhadap peristiwa yang telah berlaku dan dapat menginsafi agar ia tidak berulang pada masa hadapan.

Pada asasnya, kita mengakui bahawa perpecahan dalam kalangan umat Islam hari ini bukanlah fenomena baru. Bibit-bibit perpecahan pertama kali berlaku di antara khalifah Ali bin Abi Talib dan kumpulan Muawiyah yang kemudian mencetuskan siri peperangan Sifin dan Jamal. Konflik ini terus berlanjutan pada zaman Umayah dan Abbasiyah yang menyaksikan kedua belah pihak saling berperang disebabkan perebutan kuasa dan pengaruh.

Dalam lipatan sejarah masyarakat kita, fenomena perpecahan umat Islam wujud pada awal terbentuknya negara kita. Perpecahan ini, meskipun tidak menjurus kepada peperangan secara fizikal sepertimana yang berlaku pada peringkat awal Islam, akan tetapi apabila ia tidak ditangani secara serius, boleh membawa kepada kemusnahan bangsa dan negara. Namun demikian, kita seolah-olah buta dan tuli terhadap fakta-fakta sejarah tersebut. Kita tidak mahu belajar daripada sejarah yang telah menyajikan bahaya perpecahan sehingga dewasa ini bibit-bibit perpecahan itu masih terus mengekori perkembangan masyarakat Islam dan bangsa Melayu dalam era global ini. Percayalah perselisihan ini jika sekiranya tidak dikawal dengan baik akan mengakibatkan malapetaka besar yang bakal menimpa saperti perpecahan, persengketaan dan peperangan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: ”Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesulitan dengan cekal hati) sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”(Surah Al-Anfal ayat 46)

Salah satu sebab perpecahan yang melanda masyarakat kita ialah tidak matang dalam mengurus perbezaan pendapat sehingga kita mudah melenting dan bergaduh sesama sendiri. Walhal, pergaduhan itu berpunca daripada isu-isu remeh temeh dan tidak menggugat keimanan kita.
Apabila berlakunya sesuatu perselisihan, orang Islam diwajibkan untuk melupakan perbezaan dan kembali kepada asas keimanan dengan jelas. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika. Sikap prejudis dan tuduh-menuduh antara pihak yang berselisih perlu dielakkan. Umat Islam tidak perlu takut akan berlaku perpecahan dan konflik di kalangan masyarakat Islam disebabkan berbeza pendapat kerana ajaran Islam berkemampuan untuk menampung aneka pendapat. Namun demikian perbezaan pendapat itu tidak boleh dilakukan secara bebas tanpa had sempadannya.

Bibit-bibit perpecahan dapat diatasi apabila kita kembali semula kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang pada ruh al-Quran. Kandungan al-Quran secara keseluruhannya sebenarnya adalah menyerlahkan semangat persatuan. Oleh itu, jumlah ayat yang menganjurkan semangat persatuan atau perpaduan lebih banyak berbanding ayat yang menjelaskan perihal perpecahan. Antaranya ialah Surah al-Hujurat ayat 10 yang  berbunyi:

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Surah Ali Imran ayat 105:

Maksudnya: Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

Surah al-Syura ayat 13:

Maksudnya: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah dan berselisih pada dasarnya.

Dan ayat yang paling popular ialah surah Ali Imran ayat 103:

Maksudnya: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Perkara yang menarik dan patut menjadi renungan kita dalam firman Allah di atas ialah bagaimana peringatan Allah untuk jangan bercerai berai didahului oleh peringatan untuk ‘menegakkan agama dan jangan berpecah’ (surah al-Syura ayat 13) dan ‘berpegang pada tali Allah’ (Ali Imran ayat 103). Menegakkan agama dan tidak berpecah belah perlu berjalan seiring. Allah telah mensyariatkan untuk menegakkan agama yang benar, agama tauhid, patuh dan mentaqdiskan Allah dan tidak musyrik dalam pelbagai bentuknya. Menegakkan agama ialah bentuk kepada iman yang sempurna dan memelihara dari penyimpangan akidah. Apabila agama (takwa dan iman) telah tertegak, maka ia mendorong orang untuk berpegang kepada kitab Allah dan tali-Nya. Oleh sebab itu, janganlah bercerai-berai sepertimana golongan dan jamaah lain.

Perpecahan sesama umat Islam hari ini berlaku di mana-mana sehinggakan ada yang berpandangan bahawa perpecahan tidak dapat dielakkan kerana sepanjang sejarah kita selalu berpecah. Cuma, apakah boleh kita katakan bahawa perpecahan yang berlaku sesama umat Islam itu sebagai satu ketentuan yang tetap? Hakikatnya, kita tidak boleh berdiam diri dan pasrah terhadap takdir itu tanpa ikhtiar apa-apa. Semua pihak patut terlibat dan menyumbang aktif dalam agenda ini.

Rasulullah SAW pernah memberi amaran bahawa meskipun umat Islam jumlahnya ramai tetapi ia bagaikan buih. Segala perintah dan ajaran hilang bagaikan ditelan laut dalam samudera lautan yang luas. Keadaan ini menunjukkan kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap ajaran agamanya sebenarnya tidak lagi meresap ke dalam jiwa kita. Akibatnya, kebanggaan puak dan kumpulan sendiri serta sikap ananiyah (egois) telah membuat kita terus berpecah.

Kalau merenung secara mendalam dengan hati yang ikhlas, akan tercetus satu soalan, apalah erti kehadiran parti-parti Islam dan organisasi Islam kalau bukan untuk membangun persaudaraan Islam? Sepatutnya kelahiran semua itu untuk membina akhlak persaudaraan. Kita sebenarnya memerlukan banyak negarawan yang berpihak kepada umat secara keseluruhan. Kita sebenarnya menyedari hakikat bahawa umat Islam sedang menghadapi fasa perpecahan dan perbalahan yang kritikal. Perpecahan ini jika dibiarkan berterusan hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri.

Pengukuhan perpaduan masyarakat Islam hendaklah berasaskan kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ia perlu melalui pendekatan secara berhemah, penuh beradab dan bijaksana. Pendekatan ini penting bagi mempastikan dakwah Islam menyentuh hati dan imej Islam yang penuh kasih sayang dan memberi rahmat kepada isi sekalian alam. Pengukuhan akidah juga bagi menjernihkan semula akidah umat Islam daripada terjahan sekularisme Barat dan ajaran yang menyeleweng seperti syiah dan liberalisme melalui pendekatan holistik di semua peringkat.

Perpaduan dan persatuan ummah perlu menjadi agenda prioriti umat Islam. Mendahulukan agenda perpaduan juga bertepatan dengan prinsip fiqh awlawiyyat (fikah keutamaan) kerana berlakunya gempuran dan ancaman terhadap kesucian prinsip Islam yang semakin meningkat kebelakangan ini. Oleh itu, umat Islam perlu menumpukan sepenuhya dan berusaha secara bersungguh-sungguh bagi merealisasikan kemurnian dan ketulusan perjuangan ini.

Umat Islam perlu disedarkan dan dimatangkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi politik kepartian dan tertumpu kepada kerangka ummah yang bersandarkan kepada akidah dan amal makruf nahi munkar.

Banyak pihak berpandangan bahawa kekuatan Islam adalah kerana kesatuan matlamat dan perpaduan antara penganutnya. Justeru itu jika semua kumpulan parti politik, organisasi dan pertubuhan yang sama-sama berlandaskan perjuangan Melayu dan Islam boleh berbincang, bermuafakat dan bersatu, tentunya kekuatan masing-masing dapat digemblingkan sebagai satu tenaga modal pengupayaan ummah, hasilnya sudah tentu amat menakjubkan.

Pada masa yang sama, bagi membina perpaduan ummah kita perlu membersihkan cakerawala pemikiran kita daripada kecenderungan ketaksuban politik, kumpulan, berpuak-puak, kesukuan dan mazhab agama yang hanya memecahbelahkan umat Islam. Sebaliknya kita perlu menumpukan kepada nilai dan prinsip al-Quran yang perlu difahami secara komprehensif, jujur dan bertanggungjawab.

Meskipun sukar dan sentiasa mencetuskan pro-kontra, perpaduan ummah akan semakin mantap jika kesatuan dan kesepaduan politik dapat terlaksana. Oleh itu, semua pihak perlu melakukan inisiatif berterusan untuk membentuk pemuafakatan siasah demi menghasilkan perpaduan ummah.

Berasaskan kepada kesedaran itu, Majlis Dakwah Negara-YADIM cuba memberikan sumbangan ke arah perpaduan ummah dengan memainkan peranan sebagai pemersatu umat Islam di negara ini. Saya percaya dengan keupayaan yang ada dan disokong oleh pelbagai pihak yang merentasi sempadan politik, kita akan mampu menjadi sebuah pasukan yang berperanan sebagai jurucakap ummat Islam di Malaysia.

Ingatlah bahawa perpaduan di negara ini adalah harta yang paling mahal untuk menjaga kelansungan Islam terus bertapak di Malaysia. Umat Islam telah kehilangan penguasaan dalam bidang ekonomi dan yang tinggal sekarang ini hanya kekuasaan politik. Marilah kita semua di sini menjadi pengawal yang menjaga sempadan-sempadan agar umat Islam tidak terkeluar dari daerah perpaduan kerana umat Islam wajib mengekalkan “syaukah’ di negara ini agar Islam terus terpelihara. MDN-YADIM akan terus berusaha menggalas cabaran perpaduan ummah ini dengan membentuk skuad dan pasukan yang tangguh bagi menggamit kekuatan umat Islam sama ada dalam kalangan parti politik, masyarakat sivil, pemimpin dan tokoh masyarakat dan kekuatan media massa.

Bagi memastikan perjalanan misi perpaduan ini berkesinambungan dan tidak bersifat ‘bermusim’, maka perlu kiranya dibentuk satu sekretariat khas. Sekretariat ini perlulah dianggotai ilmuwan atau tokoh-tokoh berwibawa yang merangkumi ahli-ahli yang merentasi sempadan ideologi politik dan kefahaman keagamaan yang sempit. Sekretariat ini hendaklah dilandasi oleh niat yang murni dan ikhlas semata-mata tertegaknya kesatuan dan keserasian ummah yang agung. Kita mengharapkan dengan tertubuhnya sekretariat ini akan lebih jelas dan konkrit misi perpaduan dan persatuan ummah agar masyarakat dapat sedar dan memahami kepentingan agenda ini.

Kewujudan sekretariat khas ini hendaknya bertujuan menjadi ‘makmal’ perjalanan misi ini dengan kekuatan analisisnya, membuat laporan secara berkala, pertemuan rutin, mengenalpasti kelemahan dan strategi pelaksanaan, menganjurkan brainstorming secara tetap dan sebagainya. Semuanya bagi memastikan objektif  ke arah pembentukan ummah tidak hanya menjadi angan-angan belaka dan berlegar di alam retorik yang tidak ada kesudahannya.

Akhir kalam, saya mengucapkan selamat bersidang kepada semua peserta Multaqa. Semoga persidangan ini berjalan dengan jayanya dan memberi manfaat kepada umat Islam, bangsa dan negara kita. Amiin.

Ucapan aluan Dr Yusri Mohamad Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dalam Majlis Multaqa Perpaduan Ummah pada 18 Mei  2016  di Institut Latihan Islam Malaysia

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *