Home » Lagenda » Al-Baythar: Pengkaji flora dan fauna

Al-Baythar: Pengkaji flora dan fauna

IBNU al-Baythar atau nama lengkapnya Abu Muhammad Abdullah bin Ahmad ad-Din bin al-Baythar al-Malaki, terkenal sebagai doktor haiwan, ahli botani dan farmakologi, serta sarjana ilmu tumbuh-tumbuhan.  Beliau banyak melakukan terapan dalam masalah-masalah tumbuhan sebagai “applied science” untuk keperluan ubat-ubatan.

Sebahagian ilmunya berasal dari Yunani, tetapi daripada 1400 ramuan ubat yang dikemukakan, sebanyak 300 buah ramuan merupakan penemuannya sendiri iaitu daripada tumbuh-tumbuhan. Buat pertama kalinya, al-Baythar menuntut ilmu di Seville, Sepanyol. Di sini beliau mengumpulkan berbagai jenis tanam-tanaman yang tumbuh di sekitar kota tersebut bersama dengan beberapa orang gurunya, iaitu Abu al-Abbas an-Nabati, Abdullah bin Shaleh dan Abu al-Hajjaj.

Pada sekitar tahun 617 H / 1220 M, beliau berpindah ke daerah timur dan setelah melintasi daerah Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Tunisia), beliau menuju ke Asia Kecil dan Syria.

Ketika berada di Mesir, Ibnu al-Baythar dilantik oleh al-Malik al-Kalim Ayubbi sebagai “Ketua Ahli Meramu Ubat”. Setelah meninggalkan Kaherah, beliau banyak melakukan pengembaraan dan beberapa siri ekspedisi berupa ilmiah. Kemudian beliau berangkat ke Damsyik dan menetap di sana. Ibnu al-Baythar bersama muridnya, Ibnu Abi Ushaybi’ah telah mengumpulkan pelbagai jenis tanaman sebagai bahan untuk penelitian dan pengubatan.

Antara karyanya yang mahsyur ialah Al-Mughni fi al-Adwiya al-Murfadat (Ramuan-Ramuan Sederhana) malah dipersembahkan kepada al-Malik ash-Shalih Najm ad-Din Ayuub. Buku ini merupakan sebuah buku perubatan, iaitu mengenai pengajaran tentang ubat dan khasiatnya.

Selain itu kitab Al-Jami fi al-Adwiya al-Mufrada juga merupakan  karya botanikal terkemuka dalam bahasa Arab. Menurut seorang pengkritik Barat yang terkenal, buku ini pada hakikatnya adalah terpenting selama seluruh abad dari Dioscorides hingga ke abad ke-16. Buku ini merupakan karya ensiklopedia mengenai ramuan ubat-ubatan.

Buku ini disusun berdasarkan hasil pengkajian yang pernah dilakukan oleh al-Baythar sendiri, kemudian ia memadukannya dengan apa yang diwariskan Yunani purba dan pengetahuan tradisional Arab.

Buku ini juga memuatkan 1400 contoh-contoh ubat di mana 300 jenis antaranya terdapat lebih kurang 200 ramuan yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan. Semua bahan-bahan ramuan itu dapat diperolehi di negara-negara sepanjang Laut Tengah Sepanyol dan Syiria. Secara umum, ramuan-ramuan ubat tersebut berasal daripada haiwan, tumbuhan, dan mineral-mineral.

Ibnu al-Baythar lahir di Malaga, Sepanyol pada akhir abad ke-6 H /12 M dan meninggal di Damsyik pada tahun 646 H / 1248 M.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *