Home » Citra Yadim » Tak berpecah, selagi pegang teguh agama, pertahan institusi

Tak berpecah, selagi pegang teguh agama, pertahan institusi

Ahli-ahli panel yang terdiri wakil parti politik, dari kiri Naib Presiden Amanah, Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunos, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, tokoh pendidikan, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Mohd Dom, Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Emeritus Dato' Dr Mahmood Zuhdi Ab. Majid (pengerusi forum), Ahli Jawatankuasa PAS pusat, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, Ketua Penerangan PPBM, Dato’ Kamaruddin Mohd Noor dan Setiausaha Agung PKR, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail.

BANGI 8 Mac – Kewujudan banyak parti politik mewakili Melayu tidak memecah-belahkan masyarakat itu selagi mereka berpegang teguh kepada agama, tatasusila dan mempertahankan institusi Raja.

Perkara itu dipersetujui wakil UMNO, PAS, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) pada Forum Khas: Peranan Rakyat Dalam Mengurus Perbezaan Pendapat sempena Konvensyen Rakyat: Menelusuri Akar Umbi ke Arah Perpaduan Ummah, semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata paling penting pemimpin dan penyokong parti terbabit mengelak politik kebencian, dendam, fitnah dan mengaibkan pemimpin lawan.

“Dalam Islam, kita diharamkan menyentuh maruah dan harta orang. Bersaing secara berhemah dan sihat elakkan perpecahan,” katanya ketika menjadi ahli panel forum itu yang dikendalikan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, komitmen politik dan mengukuhkan perpaduan ummah adalah dua perkara berbeza.

Perlu bersatu

“Walaupun berbeza fahaman politik dengan UMNO dan perti pembangkang lain, dalam aspek perpaduan ummah, kita perlu bersatu,” katanya.

Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Noor, berkata perbezaan pendapat bukan halangan untuk parti berteraskan Melayu membela maruah bangsa dan institusi Raja-Raja Melayu.

“Kewujudan banyak parti politik memberi pilihan kepada rakyat membuat pilihan secara bijak, namun jangan sampai memecahbelahkan ummah,” katanya.

Naib Presiden PAN, Hasanuddin Mohd Yunos turut bersetuju, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi punca keretakan kaum dan permusuhan.

“Rakyat tidak perlu curiga dengan hubungan pemimpin Melayu yang berbeza parti politik kerana kami akan bersatu untuk kepentingan bangsa dan ummah,” katanya.

Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali Ak-Takiri pula berkata, perpaduan ummah dan mempertahankan institusi Raja menjadi tanggungjawab semua parti berteraskan Melayu tanpa mengira ideologi. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *