Home » Langit Terbuka » 10 pelajar perubatan di Mesir terima bantuan GPMS berjumlah RM378,400

10 pelajar perubatan di Mesir terima bantuan GPMS berjumlah RM378,400

KUALA LUMPUR, 7 Nov. – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) akan menyerahkan bantuan berjumlah RM378,400 kepada 10 pelajar perubatan di Mesir yang mempunyai tunggakan yuran pengajian.
Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa berkata, bantuan kewangan itu akan diserahkan dalam bentuk draf bank yang akan dibayar terus kepada universiti masing-masing dalam tempoh 14 hari ini.
Katanya, perkara itu akan selesai selepas pihaknya menerima dokumen lengkap yang diperlukan, antaranya surat tawaran belajar dan penyata tunggakan yuran dari universiti.
Zambri berkata, 10 pelajar yang kebanyakannya adalah pelajar tahun akhir masing-masing itu bakal menerima bantuan antara AS$4,000-AS$22,000 (RM16,840-RM92,622) bagi menyelesaikan sebahagian daripada tunggakan yuran mereka.
“Setakat ini dana tabung kita berjumlah RM4 juta. Kita sebenarnya memerlukan RM20 juta untuk membantu 600 pelajar Sains Kesihatan di Mesir yang mempunyai masalah tunggakan yuran ini.
“Justeru, GPMS menyeru kepada orang ramai supaya terus menyumbang kepada tabung ini bagi membantu lebih ramai pelajar,” katanya pada sidang media dalam majlis penyerahan surat tawaran bantuan kepada 10 pelajar berkenaan di sini, sebentar tadi. – https://www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *